PEMAIN TNB Thunderbolts, Azril Misron (kiri) diasak pemain KLHC, Meor Muhamad Azuan Hassan (kanan) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/OWEE AH CHUN.
Saiful Affendy Sapran


KLHC terus menghidupkan peluang untuk mempertahankan kejuaraan hoki Liga Perdana apabila mencatat kemenangan kali ketiga berturut-turut, dengan terbaharu hari ini menewaskan TNB Thunderbolts 4-0.

Kegagalan pendahulu liga, THT untuk meraih tiga mata selepas seri 1-1 dengan UniKL di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu hari ini juga sedikit sebanyak membantu KLHC untuk memenuhi misi mereka itu.

“Memang keputusan seri di Terengganu membantu kami untuk memperbaiki kedudukan liga. Tapi apa yang penting ialah kami perlu fokus kepada permainan sendiri dan tidak perlu ambil kira keputusan perlawanan lain.

“Sekarang setiap pemain perlu memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya dengan memberikan fokus penuh sehingga hujung saingan liga,” kata ketua jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan selepas tamat perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Meskipun beraksi tanpa dua tonggak iaitu Muhammad Razie Abdul Rahim kerana kekangan tugas selaku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Nabil Fiqri Mohd Noor yang mengalami kecederaan, ia bagaimanapun tidak menjejaskan rentak permainan KLHC.

Tonggak import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meletakkan KLHC di depan seawal minit ke-3 menerusi pukulan sudut penalti.

KLHC perlu menunggu sehingga minit ke-31 untuk menambah gol kedua selepas Nicholas Budgeon bijak mencari ruang hasil pukulan sudut penalti.

Thomas Carson mengukuhkan kedudukan KLHC apabila menjaringkan gol padang minit ke-49 sebelum Jonghyun melengkapkan kemenangan pasukannya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 12:12 AM