VARDY teruja berdepan Penny dalam saingan Piala FA. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Penyerang England, Jamie Vardy akan berentap dengan salah seorang ‘anak muridnya’ apabila Leicester City menentang Peterborough United dalam aksi pusingan keempat Piala FA, esok.

Vardy menubuhkan Akademi V9 dua tahun lalu dengan misi menggalakkan pemain lain mencontohi kejayaannya meningkatkan karier dari aksi bukan liga, separuh profesional sehingga sepenuh masa.

Sebelum bermula musim ini, Peterborough mengikat kontrak Alex Penny dari Nuneaton Town selepas pemain pertahanan itu menyinar di akademi milik Vardy itu.

Penny yang bekerja di restoran ketika bermain untuk Nuneaton secara berseloroh berkata, tiada masalah untuknya mengawal kelincahan Vardy kerana menganggap dia lebih pantas di atas padang berbanding penyerang berpengalaman itu.

“Saya rasa Vardy gemuruh dan dia tahu saya lebih laju berbanding dia,” kata Penny.

Vardy pula membalas: “Saya teruja dengan hasratnya itu tetapi kita tunggu siapa yang mampu kejar saya.”

“Saya harap dia dapat beraksi dengan baik tetapi pada masa sama Leicester juga mahu ke pusingan seterusnya. Ini adalah pengalaman berguna kepada kami berdua,” katanya lagi.

Musim lalu, Akademi V9 melahirkan empat pemain profesional dan Vardy yakin jumlah yang sama dapat dicapai tahun ini.

“Kami berjaya mencapai sasaran. Terlalu ramai pemain berbakat di luar sana. Kami membuka peluang kepada pemain di Scotland, Ireland Utara dan Wales untuk mempamerkan kebolehan. Kami mahu melahirkan empat pemain profesional lagi dan lebih dari itu sudah cukup bagus,” kata Vardy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 9:06 AM