BUFFON pulih daripada kecederaan peha.
BUFFON pulih daripada kecederaan peha.
AFP

MILAN: Gianluigi Buffon dijangka kembali beraksi bersama Juventus ketika menentang Chievo, Lazio pula berkunjung ke AC Milan dalam pertembungan sengit, Ahad ini.

Penjaga gol veteran berusia 40 tahun itu berehat panjang selepas mengalami kecederaan betis ketika menang 1-0 ke atas Napoli pada 1 Disember lalu.

Sepanjang ketiadaannya, penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny mempamerkan prestasi cemerlang, hanya melepaskan satu gol dalam tujuh perlawanan Serie A sekali gus menghangatkan lagi buruan trofi juara.

Juventus hanya satu mata di belakang pendahulu Napoli selepas 21 perlawanan dengan kelab kendalian Maurizio Sarri menentang Bologna di tempat sendiri, Ahad ini.

Skuad Massimiliano Allegri pula perlu memanfaatkan peluang meraih tiga mata ke atas Chievo di tangga ke-13 yang kemarau kemenangan sejak dua bulan lalu.

“Menentang mereka bukanlah mudah,” kata pemain pertahanan Juventus dari Maghribi,Medhi Benatia.

“Jika anda menentang Inter atau Roma, jurulatih tak perlu beri arahan. Semua pemain perlu sentiasa fokus dan beri yang terbaik.

“Untuk perlawanan esok anda tak boleh jangka keputusannya, semua mesti bersiap sedia fizikal dan mental,” katanya.

Perebutan kejuaraan Itali mungkin di antara Napoli dan Juventus tetapi Lazio di tangga ketiga dan tujuh mata di belakang Juve telah mula mempamerkan taring. Lazio menentang AC Milan di San Siro pada Ahad ini dan sekali lagi berentap dalam Piala Itali tiga hari kemudian.

Lazio membedil 56 jaringan, jumlah tertinggi dalam Serie A termasuk 13 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Milan pula di tangga ketujuh, 15 mata di belakang Lazio walaupun berbelanja besar pada musim panas lalu.

“Lazio mengejutkan ramai orang musim ini. Kami berada di sini dan menjadi bahan bualan banyak pihak. Pada awal musim ini tiada siapa menyangka dan ada yang meramalkan kami hanya mampu di tempat ke-10,” kata jurulatih, Simone Inzaghi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 11:57 AM