POCHETTINO berang anak buah gagal raih kemenangan. FOTO/AFP
AFP

NEWPORT, United Kingdom: Mauricio Pochettino mempersoal ‘selera’ pemainnya untuk berjuang selepas Tottenham Hotspur hampir disingkirkan kelab divisyen empat, Newport County dalam kempen Piala FA, awal pagi tadi.

Pengurus Tottenham itu berang dengan sikap yang ditunjukkan skuad kendaliannya pada aksi pusingan empat di Rodney Parade itu yang menyaksikan mereka memerlukan jaringan penyamaan pada minit ke-82 daripada Harry Kane sebelum mencatat keputusan seri 1-1.

Pochettino jelas tidak gembira apabila Spurs mengambil begitu banyak masa untuk bangkit menentang pasukan dari Wales itu yang mendahului permainan pada minit ke-38 menerusi penyerang Ireland, Padraig Amond.

Jaringan itu hampir menyebabkan Spurs dipalit kekalahan yang kali terakhir diharungi pada 16 Disember lalu sebelum penyerang England, Kane meledak gol ke-30 miliknya musim ini sekali gus memaksa perlawanan ulangan di Wembley.


KANE (kanan) jaring gol penyamaan Spurs. FOTO/AFP

“Pasukan tidak menunjukkan mereka mahu melangkah ke peringkat seterusnya, iaitu sesuatu yang mengecewakan,” kata Pochettino.

Spurs meraih pujian menerusi corak permainan serangan sejak di bawah kendalian pengurus dari Argentina itu tetapi realitinya adalah sudah 10 tahun sejak kali terakhir kelab dari London itu yang juga pemenang lapan kali Piala FA menjulang trofi utama iaitu Piala Liga.

“Mudah untuk berkata kami mahu menang trofi tetapi kami melepaskan peluang yang amat besar hari ini untuk menunjukkan yang kami benar-benar mahukannya,” kata Pochettino.

“Saya berharap kami dapat belajar daripadanya hari ini yang kami perlu berjuang untuk memenangi sesuatu. Saya mendengar Piala FA adalah magis dan hari ini kamu tidak dapat melihat sebarang perbezaan di antara pasukan di Liga Perdana dan Liga Dua.”

Setahun lalu, Tottenham turut hampir tersingkir daripada kancah Piala FA dan memerlukan gol pada minit ke-97 daripada Son Heung-Min untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Wycombe Wanderers di White Hart Lane.

“Saya lega ia berakhir dengan seri, mereka menakjubkan, pujian penuh kepada mereka (Newport),” kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 5:47 PM