FERRIS (kanan) sedia berbakti bersama NS. FOTO/FAIL
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan melengkapkan senarai barisannya dengan mendapatkan khidmat bekas penyerang Terengganu, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menjelang sepak mula kempen Liga Super 2018, Sabtu ini.

Penolong jurulatihnya, Mohd Asri Ninggal, berkata bekas pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu berpengalaman luas beraksi dalam kancah liga tempatan kerana pernah beraksi bersama FELDA United FC dan Melaka United (MU) sebelum ini.

Beliau yang juga penolong pengurus pasukan yakin reputasi pemain berusia 25 tahun berasal dari Kelantan itu dapat membantu memantapkan lagi kekuatan skuad Hobin Jang Hobin.

“Berdasarkan rekod cemerlangnya bersama Terengganu musim lalu selain boleh beraksi di posisi tengah dan serangan, kita yakin Ferris mampu membantu cabaran Negeri Sembilan.

“Saya harap dia dapat membentuk keserasian terbaik bersama pemain sedia ada menjelang perlawanan pertama Liga Super menentang PKNP FC, Sabtu ini,” katanya di sini, hari ini.

Selain Ferris, Negeri Sembilan turut mendapatkan khidmat Mohd Fauzan Dzulkifli, Mohd Aiman Mohd Khalidi, Mohd Aizulridzwan Razali, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Mohd Fakrul Aiman Sidid.

Lima import yang bakal menjadi tunjang kekuatan pasukan yang baharu kembali bersaing ke liga utama itu ialah Kim Do Heon, Flavio Beck Junior, Nicholas Leandro Velez, Renars Rode dan Mony Udom.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, Negeri Sembilan mendapat tonik menjelang aksi menentang PKNP apabila menewaskan Home United FC dari Singapura 2-0 dalam aksi persahabatan terakhir di Pusat Latihan Maybank, Bangi malam tadi, hasil jaringan Fakhrul Aiman dan Renars Rode.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:19 PM