ABU Bakar (kanan) mahu prestasi anak buah meningkat setiap perlawanan.
Mohd Azis Ngah


SECARA amnya, pendatang baru Liga Super, pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memang tidak diberikan harapan besar atau dianggap sebagai watak utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Namun, situasi ini sebenarnya memberi kelebihan kepada skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim untuk bergerak selesa dan tidak mustahil untuk sekali lagi meraih status ‘pembunuh gergasi’ atau pengacau.

Tahun lalu, PKNP FC beraksi di Liga Perdana dan meraih tiket automatik ke Liga Super 2018 bersama Negeri Sembilan apabila T-Team menarik diri, manakala Felda United diturunkan pangkat.


INFO GRAFIK HARIAN METRO

Ketika itu, kehadirannya tidak begitu diberi perhatian, tetapi selepas beberapa kali mencipta kejutan di pentas saingan Piala Malaysia dan Piala FA, kelibat PKNP FC mula mencetus rasa bimbang.

Kali ini, persiapan Abu Bakar sedikit terganggu apabila lima tonggak utama musim lalu dipikat pasukan lain dan pengendali berwibawa ini sekali lagi terpaksa membina semula pasukannya.


PEMAIN PKNP FC menjalani latihan bagi menghadapi saingan Liga Super 2018 di Stadium Mini 1 Malaysia Chemor, Ipoh. FOTO/ABDULLAH YUSOF

“Situasi ini sebenarnya membuka peluang kepada pemain muda untuk menyerlah dan beraksi lebih kerap. Memang PKNP FC tidak dibarisi pemain bintang, tetapi saya cukup yakin dengan kemampuan pemain muda.

“Mereka tak rugi apa-apa jika mencuba untuk bersaing dengan pasukan utama,” kata Abu Bakar dengan penuh positif mengenai persiapan pasukannya yang majoritinya di barisi pemain muda tempatan.


BARISAN pemain PKNP.

Atas sebab itu serta faktor kewangan, PKNP FC dilihat tidak begitu ghairah membeli pemain berstatus bintang seperti pasukan utama lain, namun ia sedikit pun tidak menggugat keyakinan Abu Bakar untuk memastikan pasukannya tidak tersingkir ke Liga Perdana selepas semusim bersaing di Liga Super.

Mengenai peluang pasukannya untuk terus mencipta kejutan, Abu Bakar mengakui lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan dan mahu pemainnya terus meningkat selepas setiap perlawanan.


PEMAIN pertahanan PKNP, Lubren (kiri) antara sandaran di bahagian pertahanan.

“Kita meraih mata pada perlawanan pertama, secara automatik moral pemain meningkat. Kita perlu kekalkan rentak kemenangan,” katanya mengulas mengenai aksi pembukaan menentang Negeri Sembilan.

Jika musim lalu mereka berjaya menang 10 daripada 11 aksi di laman sendiri, kali ini PKNP FC mungkin hilang ‘penyokong ke-12’ kerana beraksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Bagi tonggak utama PKNP FC, Hafiz Ramdan, faktor penyokong memang memainkan besar untuk membantu pasukan meraih kemenangan, tetapi untuk aksi musim ini, mereka perlu ‘memikat’ penyokong untuk ke Batu Kawan dengan meraih kemenangan dalam pertembungan awal musim.

“Kita akur, pasukan lain memang melakukan persiapan rapi dan berbelanja besar. Kami akan cuba bersaing dan saya yakin jurulatih sudah mempunyai perancangan atau ramuan tersendiri membentuk pasukan,” katanya.

Apa kata mereka:


MADURA ketika sedang berucap. FOTO/AGENSI

Hafiz Ramdan “Inilah peluang terbaik pemain muda untuk menonjol dan membuktikan mereka juga mampu bersaing dengan nama-nama besar,”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 10:00 AM