PEMINAT boleh beramah mesra bersama barisan pemain dan jurulatih TFC I di Padang C Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, jam 6 petang esok. FOTO/FAIL
Malik Muhamad


KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) mempelawa peminat setia skuad Terengganu FC I (TFC I) membanjiri Padang C Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak sempena sesi PETEH bertemu pemain pada jam 6 petang esok.

Setiausaha PETEH, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, sesi berkenaan akan bermula selepas skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu selesai menjalani latihan.

“Program tahunan ini bertujuan memberi peluang kepada peminat melihat dan bermesra dengan pemain secara lebih dekat lagi sebelum aksi Liga Super bermula pada 3 Februari ini.

“Selain itu program ini sebahagian daripada aktiviti PETEH yang bertujuan untuk menyuntik semangat pemain beraksi lebih baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu.

“Sesi ini juga akan turut disertai presiden baharu PETEH, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang menggantikan Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil,” kata Azmi.

TFC I yang diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula musim ini akan membuka tirai perlawanan pertamanya bertemu PKNS FC pada 3 Februari di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:23 PM