KUMAR (tengah) kini hadapi kes doping. FOTO/FAIL
Saiful Affendy Sapran


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) supaya mempercepatkan proses pendengaran membabitkan kes doping penjaga gol negara, S Kumar.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, rayuan itu sedang diusahakan oleh badan induk itu kerana tidak mahu Kumar ternanti-nanti.

“Saya jangkakan sesi pendengaran akan berlangsung bulan depan tapi MHC sedang mengemukakan rayuan agar tarikhnya dipercepatkan.

“Perkara ini diuruskan oleh barisan peguam MHC serta Pengarah Teknikal (Terry Walsh),” katanya.

MHC sebelum ini menjangkakan sesi pendengaran itu berlangsung bulan ini selepas Kumar didapati bersalah menggunakan bahang terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada Piala Asia di Dhaka, Oktober lalu yang menyaksikan skuad Malaysian Tigers muncul naib juara.

Ketika ini, penjaga gol berusia 38 tahun itu sedang berdepan hukuman penggantungan sementara selama dua tahun.

“Perkara ini di luar bidang kuasa MHC. Kami tidak ada pilihan lain selain perlu mengikut prosedur daripada FIH,” katanya.

Subahan berkata, beliau sememangnya bersimpati dengan Kumar yang sudah bersedia untuk membela diri pada sesi pendengaran itu.

“Ya, saya memang bersimpati dengan Kumar tetapi perkara sudah berlaku dan seperti saya katakan tadi kami perlu mengikut prosedur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 6:09 PM