SAINGAN LTdL kekal lapan peringkat. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain


PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) terkilan dengan keputusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menolak permohonan untuk melangsungkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 sebanyak 10 peringkat sekali gus menyakskan ia kekal berlangsung lapan peringkat.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab berkata, pada peringkat awal, mereka menjangkakan permohonan untuk menambah dua peringkat perlumbaan itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

“Ciclista Sports Sdn Bhd, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kami sendiri beranggapan perlumbaan 10 peringkat akan diluluskan tanpa timbul sebarang masalah. Malah permohonan seperti itu pernah dilakukan pada satu edisi LTdL dulu dan ia diluluskan UCI.

LTdL 2018 membabitkan 10 peringkat perlumbaan bermula dari 16 hingga 25 Mac sejauh 1,537.2 kilometer dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat lalu dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

“Kami mendapat e-mail dari UCI pada Sabtu (malam) mengesahkan hanya lapan peringkat diluluskan bermula 18 hingga 25 Mac dengan perlumbaan asal adalah 3 hingga 10 Mac.

“Antara alasan penolakan UCI adalah komitmen beberapa pasukan kerana ada antaranya sudah membuat persediaan untuk perlumbaan lain. Malah pada Mac terdapat kira-kira 30 perlumbaan berlangsung di seluruh dunia,” tambahnya.

Ditanya sama ada rayuan akan dilakukan, Abu Samah menjelaskan pihaknya menunggu keputusan penganjur dan kata putus KBS.

“Terpulang kepada Ciclista Sports Sdn Bhd mengadakan perbincangan bersama KBS dengan PKBM bersedia memanjangkan rayuan kepada UCI. Saya menanti kata putus mereka,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 9:53 PM