PERTAHANAN Juventus Andrea Barzagli dan Buffon (kanan) meraikan kemenangan pasukan itu menewaskan 1-0. Foto AFP
AFP

BERGAMO: Gonzalo Higuain menjaringkan gol pada minit ke-3 dan Gianluigi Buffon menyelamatkan sepakan penalti bagi membolehkan Juventus menang 1-0 ke atas Atalanta dalam aksi separuh akhir pertama Piala Itali, awal pagi tadi.

Buffon yang mengawal gawang kali pertama selepas berehat panjang dua bulan akibat kecederaan betis beraksi cemerlang dalam penampilan pertama piala itu sejak 2012.

Juara bertahan itu yang memburu trofi keempat berturut-turut membolosi gawang tuan rumah selepas penyerang Argentina, Higuain melepasi benteng lawan dan merembat kencang pada minit ke-3.

Itu adalah jaringan terpantas skuad Massimiliano Allegri musim ini yang menduduki tangga kedua Serie A di belakang Napoli.

Atalanta mendapat sepakan penalti selepas bola terkena tangan Medhi Benatia tetapi Buffon bertindak cemerlang menyelamatkan rembatan Alejandro Gomez dengan merebahkan diri ke sebelah kiri gawang.

“Saya gembira dengan keputusan hari ini,” kata pengurus Juventus, Allegri.

“Keputusan ini penting walaupun perlawanan peringkat kedua menjadi penentu.”

Higuain terlepas peluang menambah jaringan pada separuh masa kedua dan dua percubaan Blaise Matuidi terkena palang.

Buffon kemudiannya menyelamatkan dua percubaan pantas penjaring terbanyak Atalanta, Gomez.

“Saya bangga dengan Gigi (Buffon), dia tidak beraksi dalam Piala Itali selama lima tahun,” kata Allegri.

“Dia tidak ‘berkarat’ walaupun tidak beraksi selama 45 hari . Dia rehat beberapa minggu dan kini kembali menjadi penjaga gol utama.

“Wojciech Szczesny tidak kurang cemerlang tetapi Buffon tetap Buffon,” katanya lagi.

Walaupun menewaskan pendahulu liga, Napoli di Stadium San Paolo untuk mara ke separuh akhir, Atalanta gagal mengulangi prestasi sama ketika menentang Juventus yang mendominasi perlawanan.

Anak buah Allegri kini hanya perlu mengekalkan kelebihan itu apabila menerima kunjungan Atalanta pada 28 Februari di Turin.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, AC Milan menentang Lazio di San Siro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 7:51 AM