JDT mempunyai barisan pemain mantap untuk galas cabaran musim baru.
Rizar Mohd Noor


BERSTATUS juara Liga Super empat musim berturut-turut meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan pilihan untuk meneruskan pencapaian terbaik pada musim ini sejak mengharungi proses transformasi pada 2013.

Namun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekadar menyasarkan kelompok tiga teratas liga, suku akhir Piala FA serta Piala Malaysia musim ini.

Jika diimbas kembali perancangan itu, ia agak berkesan kerana mereka mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan untuk melakar kemenangan dan seterusnya muncul juara liga.


INFO GRAFIK HARIAN METRO

Walaupun sedar betapa saingan pada musim baru nanti lebih mencabar, skuad Harimau Selatan bagaikan mahu mengulangi pencapaian musim lalu dan kehadiran beberapa pemain muda mampu mengimbangi gandingan dengan pemain senior yang akan mewarnai skuad.

Kehadiran Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba yang menyertai JDT pada musim ini dan kelibat Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa dan Hariss Harun yang kembali menguatkan skuad, membuatkan Harimau Selatan ampuh di setiap posisi.

Skuad kendalian Ulisses Morais itu berjaya mempertahankan kejuaraan liga musim lalu dan muncul juara Piala Malaysia.

Ia pasti menyuntik semangat pemain bagi memburu kejuaraan kelima berturut-turut untuk memburu slot automatik beraksi di pentas saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.


BARISAN pemain dan kejurulatihan serta pegawai JDT. FOTO/JOHOR SOUTHERN TIGERS

Mengulas mengenai persiapan menghadapi musim 2018, Morais menegaskan semua pemain begitu komited sepanjang latihan dan bersedia untuk memulakan kempen liga dengan aksi pertama menentang Kedah dalam pertembungan merebut Piala Sumbangsih, Sabtu ini.

“Saya berpuas hati dengan prestasi setiap pemain sepanjang aksi persahabatan pramusim, malah mereka kerap memberi kerjasama dan mengikut setiap perancangan taktikal.

“Kami akan mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan piala liga. Tetapi, kami tahu bukan mudah kerana rata-rata pasukan yang bersaing melakukan persiapan rapi dengan membawa masuk pemain baru.


JDT sasar kelompok tiga teratas Liga Super.

“Selaku juara bertahan, kami mahu mengekalkan gelaran itu. Malah, saya tidak menafikan pemain JDT sudah bersedia untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan akan memberi yang terbaik,” kata Morais.

Yang pasti, kelibat Farizal Marlias bakal mewarnai semula kancah Liga M selepas tempoh penggantungan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan tamat pada 10 Februari ini dan hanya terlepas dua perlawanan liga.

Kehadiran Farizal mampu menguatkan gawang JDT yang hanya menaruh sandaran kepada Izham Tarmizi Roslan dan Haziq Nadzli sepanjang baki saingan Liga M musim lalu.


TUNKU Ismail (kanan) berucap pada Majlis Penyerahan Sijil MBOR, di Hotel Thistle, Johor Bahru. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 10:00 AM