AIFA (kiri) bakal menentang Tsz Wing pada separuh akhir pusingan ketiga Jelajah Skuasy Malaysia esok.
Devinder Singh


PEMAIN skuasy remaja, Aifa Azman berusaha meneruskan rentetan enam perlawanan tanpa kalah apabila dia menentang pilihan utama Tong Tsz Wing pada separuh akhir pusingan ketiga Jelajah Skuasy Malaysia esok.

Aifa menang gelaran Jelajah PSA pertamanya pada pusingan kedua di Kelab Diraja Selangor minggu lalu dan mara ke kelompok empat terakhir di Jalan Duta hari ini dengan kemenangan 11-6, 11-3, 12-10 mengejutkan pilihan keempat dari Pakistan, Sadia Gul.

Selepas bergelar pemenang termuda Malaysia dalam Jelajah PSA, pemain berusia 16 tahun itu perlu menewaskan pemain ranking ke-50 dunia buat kali pertama dalam kariernya untuk mara ke final.

Pemain ranking ke-46 dari Hong Kong, Tsz Wing menewaskan pemain remaja kebangsaan, Ooi Kah Yan 11-1, 11-6, 11-1 pada suku akhir.

“Tsz Wing pemain yang kuat, dia cergas dan berkedudukan 50 terbaik dunia,” kata pemain nombor 105 dunia itu yang menewaskan pemain Switzerland, Cindy Merlo 11-6, 9-11, 11-6, 16-14 pada pusingan pertama pagi tadi.

“Saya melalui dua perlawanan yang sukar hari ini tapi saya memang mahu menang kejohanan ini. Saya akan bermain dengan selamat dan harap pukulan saya menjadi ketika bertemu Tsz Wing.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 9:03 PM