MATSUYAMA hampiri rekod Woods, Watson, Appleby dan Stricker di  TPC Scottsdale.
MATSUYAMA hampiri rekod Woods, Watson, Appleby dan Stricker di TPC Scottsdale.
AFP

LOS ANGELES: Bintang golf Jepun Hideki Matsuyama menyedari dia akan menyertai kelab eksklusif sekiranya mampu menjulang gelaran Terbuka Phoenix ketiga berturut-turut hujung minggu ini.

“Saya suka berada di sini,” kata Matsuyama ketika bersiap sedia memulakan aksinya di TPC Scottsdale.

“Kejayaan memenanginya dua kali dua tahun lalu benar-benar istimewa buat saya, ia satu penghormatan.

“Saya akan melakukan yang terbaik tahun ini untuk menjulang tiga gelaran berturut-turut dan jika bernasib baik melakukannya, saya fikir saya akan menyertai Arnold Palmer yang juga pemenang tiga gelaran berturut-turut. Ia pasti sesuatu yang istimewa.”

Palmer menang tiga kali berturut-turut di Phoenix dari 1961 hingga 1963.

Dalam tempoh 40 tahun Jelajah PGA AS, hanya Tiger Woods, Tom Watson, Stuart Appleby dan Steve Stricker memenangi kejohanan sama selama tiga tahun berturut-turut. Woods melakukannya empat tahun berturut-turut.

Matsuyama bangkit dari ketinggalan untuk merangkul kedua-dua gelaran Phoenix menerusi play-off membabitkan empat lubang.

Pada 2016, dia ketinggalan dua pukulan berbanding Rickie Fowler dengan baki tiga lubang dan memenangi playoff dengan pukulan sejauh tujuh kaki untuk catatan par.

Tahun lalu, dia ketinggalan empat pukulan kepada bekas juara Terbuka AS menjelang pusingan terakhir dan menjulang trofi itu hasil birdie sejauh 12 kaki pada lubang keempat pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:33 PM