DARI kiri, Setiausaha PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin, Pemain PKNS FC, Zac Anderson, Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal, Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid dan Pemain PKNS FC, Jonatan Leonel Acosta. Foto fail
Aziman Rosdi


JURULATIH PKNS FC, Datuk K Rajagobal tidak mahu anak buahnya tertekan biarpun pihak pengurusan meletakkan sasaran tinggi sekurang-kurangnya merangkul satu piala musim ini.

Katanya, dengan kehadiran dua pemain baru yang diisi pada saat akhir iaitu penyerang dari Brazil, Rafael Ramazotti dan pertahanan Mahali Jasuli, mereka kini sudah bersedia untuk memberikan saingan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

“Rafael memiliki rekod baik sebelum ini dan saya fikir dengan kemampuannya menghasilkan gol, dia adalah pilihan terbaik untuk PKNS. Mahali pula kita sudah kenal sebagai pemain yang serba boleh, berpengalaman bersama skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT),” kata Rajagobal pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi PKNS FC 2018, di sini, hari ini.

“Sasaran pasukan untuk mendapatkan satu piala dan ini satu cabaran buat kami semua. Di sini saya tak boleh beri jaminan tapi saya yakin pemain boleh beri yang terbaik.”

PKNS FC menamatkan kempen Liga Super tahun lalu di tangga ketujuh di samping merekod pencapaian baik pada musim 2016 apabila muncul naib juara Piala FA.

Mereka menagih sentuhan bekas jurulatih Harimau Malaya, Rajagobal selain membawa masuk beberapa pemain baru termasuk empat lagi import selain Ramazotti iaitu, Johnathan Acosta (Argentina), Romel Morales (Colombia), Zac Anderson (Australia) dan Faris Ramli (Singapura).

Rajagobal yang sebelum ini membimbing Sarawak menjangkakan pasukan gergasi seperti Johor DT, Kedah, Pahang dan Selangor adalah pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan.

“Kita tahu pasukan lima teratas seperti Johor DT, Kedah, Pahang dan juga Selangor adalah pasukan pilihan, mereka sudah kukuh, cuma saya mahukan pemain saya konsisten, fokus pada satu perlawanan ke satu perlawanan. Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pemain,” katanya.

PKNS FC yang akan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang mereka akan bertandang ke Kuala Terengganu Sabtu ini bagi aksi pembukaan liga menentang Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 8:57 PM