ICARDI (kiri) ledak 18 gol daripada 22 perlawanan Serie A. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Kapten Inter Milan Mauro Icardi belum pasti dapat diturunkan ketika kelab itu cuba bangkit dalam aksi Serie A berdepan Crotone di laman sendiri awal pagi Ahad.

Icardi, penjaring terbanyak Inter yang meledak 18 gol dalam 22 perlawanan Serie A mengalami kesakitan pada otot paha kanannya.

Kecederannya mencetus kebimbangan terhadap skuad Luciano Spalletti yang masih gagal mencatat kemenangan sejak 3 Disember dengan hanya mengutip lima mata daripada tujuh perlawanan terakhir mereka.

Inter mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga 16 Disember dan kini menduduki tangga keempat, berjaya menempah tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, 16 mata berbanding pendahulu Napoli.

Perlawanan menentang Crotone yang berada di atas zon penyingkiran mungkin menawarkan Inter tiga mata untuk merapatkan jurang dengan Lazio yang menduduki tangga ketiga.

Pemain baru Inter iaitu Lisandro Lopez dari Benfica dan bekas pemain Barcelona Rafinha mungkin akan diturunkan di Calabria.

Crotone bagaimanapun mungkin akan berhasrat menang perlawanan ketiga berturut-turut dengan SPAL di belakang mereka dan Cagliari di depan menjelang pertembungan di Sardinia pada awal pagi Isnin.

Dalam perlawanan kedua awal pagi Ahad, Sampdoria menanti kunjungan Torino dengan matlamat merapatkan jurang dengan Lazio, Inter dan Roma yang masing-masing gagal mencatat kemenangan hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 12:25 PM