AQILAH (tengah), Ming Shan (kiri) Shaerra menunjukkan pingat masing-masing. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ
Mohd Khairie Khalid


NUR Aqilah Yusof membuktikan ketajamannya dalam acara recurve individu wanita pusingan kelayakan biarpun tampil buat kali pertama di kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengalaman jelas memihak Aqilah apabila mencatatkan 581 panahan sekali gus memenangi pingat emas, menewaskan pemanah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ang Ming Shan selaku pemenang perak sementara Shaerra Ezzaty Saffuan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) meraih gangsa.

“Ini kali pertama saya menyertai SUKIPT dan saya agak berdebar kerana menerima saingan hebat dari pemanah universiti lain. Angin agak kuat pada hari ini tapi alhamdulillah saya dapat membiasakan diri dengannya.


AQILAH mencatatkan 581 panahan. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ

“Selepas ini saya akan terus berusaha agar dapat mewakili negara kerana menjadi impian saya selama ini. SUKIPT juga menjadi salah satu medan pemilihan atlet untuk ke Sukan Universiti ASEAN (AUG),” kata Aqilah ketika ditemui di Stadium Pavillion, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Dalam perkembangan lain, olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 itu berkata, prestasinya ketika ini sedikit menurun kerana sibuk dengan persiapan pembelajaran serta aktiviti sukan.

Bagaimanapun atlet yang pernah terpalit isu penggunaan bahan terlarang sibutramine dua tahun lalu itu berazam sekali lagi meraih status olahragawati SUKMA di Perak pada September ini selain mencuba meraih gelaran sama di SUKIPT kali ini.

Sementara itu, Mohd Alif Adha Hassan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi emas acara recurve individu lelaki dengan catatan 614 mata, perak milik Mohamad Amir Imran Abdul Manaf dari Kolej Komuniti Malaysia (612) manakala gangsa milik Nazir Omar dari UPM (606).

Sukan memanah menawarkan 14 pingat emas secara keseluruhan di kejohanan SUKIPT kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:09 PM