PEMAIN Crotone, Noe Dussenne (kanan) mengekang Eder.
PEMAIN Crotone, Noe Dussenne (kanan) mengekang Eder.

MILAN: Inter Milan diejek di San Siro selepas deretan tanpa kemenangan mereka dalam kempen Serie A berlarutan kepada lapan perlawanan apabila diikat 1-1 oleh kelab kerdil, Crotone, awal pagi tadi.

Pemain Brazil, Eder meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan pada minit ke-23 tetapi ia disamakan oleh Andrea Barberis, 15 minit selepas babak kedua berlangsung.

Keputusan menyaksikan Inter terus buntu untuk meraih kemenangan dalam tempoh dua bulan selain keputusan seri keempat berturut-turut di laman sendiri.

Kapten Inter Mauro Icardi hanya menyaksikan perlawanan daripada tempat duduk penonton susulan kecederaan dengan pemain yang baru dibeli, Rafinha dimasukkan lewat permainan bagi menggantikan Antonio Candreva.

Mereka begitupun diejek oleh penonton yang turut memaparkan kain rentang “Bangun... mari kembali meraih kemenangan” di kawasan tempat duduk selepas perlawanan.

Skuad kendalian Luciano Spalletti itu kekal di tangga keempat liga, tetapi ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Napoli manakala Lazio di tangga ketiga berpeluang menjarakkan mata apabila menanti kunjungan Genoa, esok.

“Jelas yang kami berada dalam keadaan yang agak sukar, kami lebih banyak beraksi di bawah tahap sebenar di beberapa kawasan dan tidak menang buat masa yang lama,” kata

“Apabila kadang kala kami melakukan kesilapan, kami hilang keyakinan dan nampaknya seperti mempunyai karektor yang lemah. Kami kembali bimbangkan kejadian yang berlaku sebelum ini.”

Pengurus Crotone, Walter Zenga mengalirkan air mata selepas wisel perlawanan ditiupkan di gelanggang kelab yang pernah disertainya satu ketika dulu.

“Untuk melihat pasukan saya bermain seperti ini, dengan karektor di stadium seperti San Siro menentang pasukan seperti Inter adalah menakjubkan,” kata Zenga yang juga bekas penjaga gol dan pernah beraksi lebih 400 perlawanan bersama Inter. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 1:35 PM