KETUA jurulatih JDT, Morais akui Izham gugup.
KETUA jurulatih JDT, Morais akui Izham gugup.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais enggan menyalahkan kesilapan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan yang hampir meragut kemenangan pasukan itu selepas memberi gol mudah buat Kedah pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Tindakan Izham Tarmizi pada minit ke-15 yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memudahkan tugas Pablo Pallares mencipta jaringan buat Kedah selepas menerima bola umpanan Sandro Da Silva.

Namun skuad Harimau Selatan bangkit mencipta kemenangan 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-28 dan Marcos Antonio pada minit ke-58 untuk memastikan skuad Harimau Selatan kembali merampas Piala Sumbangsih.

Morais berkata, dalam permainan bola sepak terutama pada aksi pertama Liga Super, kegugupan tetap ada namun Izham sedar kesilapan yang dilakukan dan kembali bangkit untuk memperaga aksi terbaik sepanjang perlawanan itu.

“Bukan salah Izham kerana kita beri ruang kepada Kedah jaringkan gol dan kesilapan itu datang daripada semua pemain tetapi mereka sedar betapa pentingnya kemenangan di laman sendiri dan mereka terus mengasak untuk bangkit.

“Memang benar, kami tidak suka apabila berlakunya kesilapan, namun kesilapan dalam satu perlawanan bola sepak adalah perkara biasa.

“Apa yang mustahak adalah kami perlu mengubah keputusan perlawanan dan memenangi perlawanan tersebut agar kami berjaya mengutip tiga mata penting dan ia membuahkan hasil,” katanya.

Morais menegaskan ketika babak pertama, barisan pemainnya beraksi dengan semangat tinggi dan menguasai keseluruhan perlawanan sehingga skuad kendalian Ramon Marcote tidak mempunyai sebarang peluang.

Beliau menambah, kelibat Antonio yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan tampak konsisten apabila berjaya menyekat gerakan berbahaya skuad Helang Merah namun ada faktor keletihan yang memaksa dia dikeluarkan pada penghujung babak kedua.

“Marcos jelas tampak keletihan dan kami di barisan kejurulatihan mengambil keputusan untuk mengeluarkannya kerana risau akan keadaannya yang baru pulih. Anda tahu sepanjang pasukan bercuti sebelum liga bermula, dia bekerja keras menjalani proses pemulihan dan hasilnya begitu positif,” kata Morais.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 2:12 PM