CORBIN Ong (kiri) mengasak pemain Kedah, Sandro da Silva ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Syafiq Aznan


PERTAHANAN naturalisasi Johor Darul Ta’zim (JDT), La’Vere Corbin-Ong tidak perlu menunggu lama apabila hanya memerlukan satu aksi untuk memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe memberi bayangan untuk memanggil pemain kacukan Malaysia-Barbados itu khususnya bagi aksi persahabatan pertama di bawah kendaliannya bertemu Mongolia, 22 Mac ini selepas terpikat aksinya ketika JDT menewaskan Kedah 2-1 pada aksi Piala Sumbangsih, malam tadi.

Beliau turut mengakui pemain berusia 26 tahun itu memiliki kualiti yang baik dan optimis kemasukannya dalam skuad Harimau Malaya dapat mengukuhkan lagi benteng pasukan.

“Jika dinilai daripada aksi bertemu Kedah malam tadi, memang kita dapat lihat Corbin antara pemain yang cukup menyerlah dan memberi sumbangan ketika bertahan dan menyerang.

“Sebelum ini, saya sudah menyelidik maklumat dan statistik Corbin bersama pasukan terdahulu dan saya akui dia sememangnya pemain yang berpotensi besar.

“Jadi, sudah pasti dia memiliki tempat dalam perancangan saya bersama skuad kebangsaan selepas ini tetapi kita akan terus memantau mana-mana pemain yang turut berpotensi untuk dipanggil menyertai skud kebangsaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Corbin yang membarisi skuad kesebelasan utama JDT memperagakan aksi yang begitu kemas apabila kerap menghalang serangan yang dilancarkan Kedah selain turut membantu jentera serangan skuad Harimau Selatan itu.

Malah, dia membantu menghasilkan gol kemenangan JDT selepas hantaran lintangnya berjaya ditanduk masuk seorang lagi pertahanan, Marcos Antonio.

Sebelum menyertai JDT, Corbin beraksi di Kelab Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles dan berjaya menjaringkan lapan gol dalam lapan penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:28 PM