MARCOTE mahu anak buahnya segera bangkit lupakan kekalahan kepada JDT. Foto fail
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Kedah, Ramon Marcote optimis skuad kendaliannya mampu melupakan segera kegagalan mempertahankan Piala Sumbangsih selepas tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Malah, pengendali kelahiran Sepanyol itu yakin Helang Merah mampu bangkit apabila melayan kunjungan Perak dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Darul Aman, Rabu ini.

“Saya sudah kenal pasti beberapa kesilapan yang dilakukan pemain dan akan memperbaikinya menjelang aksi menentang Perak. Saya yakin pemain mampu bangkit di laman sendiri Rabu nanti,” katanya sejurus perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, Kedah bagaimanapun mendahului menerusi Pablo Pallares pada minit ke-15, namun JDT bangkit meledak dua gol menerusi Luciano Figueroa (m-28) dan Marcos Antonio (m-58).

Mengulas lanjut mengenai kekalahan kepada skuad kendalian Ulisses Morais itu, Marcote mengakui barisannya gagal memperaga aksi terbaik sekali gus dihukum tuan rumah.

“Apa yang anda jangkakan kalau berdepan JDT, sudah tentu ia perlawanan sukar dan kami terpaksa mengubah corak permainan dengan meletak Baddrol (Bakhtiar) beraksi di posisi tengah dan bukan di posisi sayap.

“Kami tahu JDT akan memberi tekanan dan menyerang menerusi gerakan sayap kiri dan kanan dengan larian pantas sehingga memaksa kami bertungkus lumus untuk menyekat setiap gerakan.

“Perancangan kami pada babak pertama lebih tertumpu untuk beraksi secara padat di posisi pertahanan bagi menghalang asakan serangan JDT, namun mereka berjaya menjaringkan gol kerana benteng gagal mengawal rapi penyerang mereka,” katanya

Pengendali itu juga mengakui Liridon Krasniqi tidak beraksi 100 peratus selepas hanya 15 hari sahaja berlatih bersama pasukan.

“Dia tampak bergelut untuk memberi persembahan terbaik tetapi saya tetap puas hati kerana dia masih memberi sumbangan dalam perlawanan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:32 PM