KIPRE (kiri) diasak pemain PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.
KIPRE (kiri) diasak pemain PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menegaskan beliau tidak kecewa di sebalik kegagalan anak buahnya mengutip tiga mata pada aksi pertama Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Sebaliknya, jurulatih berpengalaman itu menyifatkan keputusan seri 2-2 adil buat kedua-dua pasukan, apatah lagi aksi pertama agak sukar setiap pasukan membaca permainan lawan masing-masing.

“Walaupun kami gagal mengutip tiga mata di laman sendiri, tapi secara keseluruhannya saya tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain, lebih-lebih lagi skuad PKNS FC bukan calang-calang pasukan.

“Justeru, keputusan ini adil buat kami dan pasukan lawan biarpun sebelum aksi bermula sudah pasti kami menyasarkan tiga mata kerana aksi pertama penting bagi menyuntik semangat pemain sebelum aksi kedua nanti,” kata Irfan.

Dalam perlawanan itu, skuad Penyu yang hanya menyenaraikan empat pemain import berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti, Tchetche Kipre sebelum pemain skuad Semut Merah, Qayyum Marjoni Sabil menyamakan kedudukan.

Penyerang PKNS, Rafael Ramazotti berjaya menambah jaringan kedua pasukannya sebelum sekali lagi Kipre meledak jaringan untuk menyamakan kedudukan sekali gus kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Sementara itu, pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal enggan menyalahkan pemainnya sesudah terlepas peluang membawa pulang tiga mata.

“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana bangkit selepas ketinggalan dan satu mata yang dikutip ini tetap berharga sebelum aksi kedua menentang Pahang,” kata Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 10:03 AM