CONTE tidak bimbang dengan kekalahan Chelsea. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Chelsea Antonio Conte menegaskan beliau ‘tidak bimbang’ akan nasibnya biarpun menyaksikan 10 pemainnya berdepan satu lagi kekalahan memalukan apabila tumbang kepada Watford 1-4 awal pagi tadi.

Jaringan Daryl Janmaat, Gerard Deulofeu dan Roberto Pereyra pada enam minit terakhir memberikan Watford kemenangan pertama daripada enam perlawanan sekali gus melonjakkan Hornets enam mata melepasi zon penyingkiran.

Chelsea yang tewas 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth dalam aksi sebelum ini beraksi dengan 10 pemain apabila Tiemoue Bakayoko dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama sebelum penalti Troy Deeney meletakkan Watford di depan sebelum tamat separuh masa.

Jaringan cantik Eden Hazard pada lapan minit terakhir memberi harapan seketika buat pasukan pelawat, namun mereka kekal di tangga keempat, hanya satu mata mengatasi Tottenham Hotspur, ketika peluang Conte untuk mengendalikan kelab itu pada baki musim ini terus menjadi tumpuan.

“Saya bekerja setiap hari dan memberikan 120 peratus, jika ini mencukupi tidak mengapa, jika tidak kelab boleh membuat keputusan tetapi saya tidak bimbang,” kata Conte.


HAZARD (kanan) jaring gol tuggal Chelsea. FOTO/AFP

“Sudah pasti ada kekecewaan kerana saya rasa permainan kami terlalu teruk. Kami bermain dengan teruk dan tanpa personaliti. Kami bermain dengan rasa takut.”

Conte menegaskan sebelum perlawanan itu bahawa beliau mahu menamatkan kontraknya pada 2019 biarpun wujud banyak aduan musim ini mengenai kekurangan pengaruhnya terhadap strategi pembelian pemain.

Jurulatih kelahiran Itali itu sekali lagi menurunkan pasukan tanpa penyerang dikenali dengan pemain baru Olivier Giroud dianggap lebih layak sebagai pemain simpanan dengan ketiadaan Alvaro Morata susulan kecederaan belakang.

Gandingan tiga pemain iaitu Hazard, Pedro Rodriguez dan Willian gagal mencetus impak ketika Watford cemerlang di bawah kendalian jurulatih baru Javi Gracia di laman sendiri.

“Malam yang sukar dilupakan,” kata Gracia. “Kemenangan dan perlawanan hebat. Saya bangga dengan pemain hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:11 AM