PIQUE mencetuskan kemarahan peminat di Stadium RCDE. FOTO/AFP
Reuters

BARCELONA: Aksi pertahanan Barcelona Gerard Pique ketika meraikan jaringan ke atas Espanyol ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 semalam akan disiasat sama ada pemain itu sengaja mencetuskan kemarahan peminat di Stadium RCDE di Cornella, kata Presiden La Liga Javier Tebas hari ini.

Sekiranya jawatankuasa pertandingan persekutuan bola sepak Sepanyol itu menyifatkan tindakan Pique itu boleh dijatuhkan hukuman, pemain Sepanyol itu mungkin digantung sehingga tiga perlawanan.

Pique meletakkan jarinya di bibir menyuruh penonton mendiamkan diri selepas menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-82 yang mencetuskan kemarahan penyokong tuan rumah.

“Jawatankuasa akan memutuskan sama ada tindakan itu salah tetapi kami akan membawanya kepada mereka untuk membuat keputusan,” kata Tebas.

“Peraturan itu bermakna cara tertentu untuk meraikan jaringan boleh dianggap satu provokasi.”

Pique mempunyai hubungan dingin dengan penyokong Espanyol dan sering membangkitkan kemarahan mereka dengan komen provokatif, baru-baru ini mengejek kelab itu kerana berpangkalan di Cornella, yang terletak 10 kilometer dari Barcelona.

Susulan perlawanan itu, Pique berkata sambutan itu adalah apa yang termampu dilakukannya selepas kritikan peminat Espanyol yang ditujukan kepada keluarganya meskipun Tebas tidak bersetuju dengannya.

“Kami perlu menunjukkan bahawa Espanyol bekerja keras dan sehingga detik itu, iaitu jaringan Pique, tiada sebarang tindakan memalukan ditujukan kepada keluarga Piquet yang perlu kami khuatirkan dalam La Liga.

“Tindakan provokatifnya mencetuskan kemarahan penyokong dan itu tidak boleh diterima.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:48 AM