B SATHIANATHAN
Nazri Abu Bakar


WALAUPUN berpesta jaringan membelasah PDRM 6-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat malam tadi, namun jurulatih FELDA United, B Sathianathan bimbang dengan dua gol bolos.

Rasa bimbang itu bertambah menjelang pertemuan berdepan Pulau Pinang 12 Februari depan.

Biarpun mengakui puas melihat anak buahnya berjaya mencetak enam gol dalam perlawanan itu, namun tidak gembira apabila The Fighters melepaskan dua jaringan kepada lawan.

“Jika kesilapan menyebabkan jaringan The Cops menerusi penalti dan sepakan percuma berulang, sudah pasti ia boleh membawa padah ketika pasukan bertemu skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

“Saya mengingatkan pemain untuk tidak mengambil mudah dalam usaha membentuk persefahaman jitu, terutama ketika diasak dan digempur lawan. 

“Apapun, prestasi keseluruhan dilihat lebih baik berbanding perlawanan pertama ketika bertemu UKM FC.

“Jika mereka mampu kekalkan persembahan berkenaan dan elak kesilapan, sudah pasti tambahan tiga mata mampu dikutip ketika aksi di gelanggang sendiri bertemu skuad Harimau Kumbang,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan menyaksikan import Brazil Gilberto Fortunato meledak hatrik, manakala Ramsay (Filipina) serta kapten pasukan, Shukor Adan dan Syamim Yahya masing-masing mencetak satu gol sekali gus menyumbang malam gemilang FELDA United. 

Sathianathan turut memuji persembahan semua importnya pada perlawanan terbabit termasuk Fortunato, Ramsay dan Thiago Aquino Junior yang beraksi cemerlang.

Beliau kini hanya menunggu kehadiran semula import Brazil, Thiago Augusto Fernandes untuk mengemudi barisan depan dan yakin kelincahan pemain itu bakal menambah bisa skuad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 1:28 PM