AZIZULHASNI AWANG
Azlan Muhammad Zain


JAGUH keirin, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa yang berpangkalan di Melbourne diharap mampu meneruskan kecemerlangan mereka pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional minggu depan.

The Pocket Rocketman memahat nama gemilang di Velodrom Nasional apabila menang emas dalam acara pecut individu untuk melengkapkan sasaran 111 emas kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2017 selain mengungguli acara keirin.

Manakala Fatehah Mustapa menguasai semua acara disertainya apabila meraih empat emas di velodrom tertutup negara itu.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap aura positif mampu diteruskan apabila menyandarkan harapan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya merealisasikan hasrat membawa pulang dua emas daripada ACC 2018 di velodrom sama.

“Ia bukan mudah apabila kuasa besar Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan China tampil dengan pelumba terkuat kerana ACC 2018 kejohanan pertama menawarkan mata untuk kelayakan Olimpik Tokyo 2020.

“Jadi kami harap mereka mampu menang kali ini, terutamanya dalam acara keirin bagi Azizulhasni,” jelas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab selepas majlis penajaan kejohanan, hari ini.

Jelas Abu Samah, harapan juga disandarkan kepada pelumba negara yang menjalani latihan di Australia bagi melakar keputusan positif.

“Namun bagi pelumba lain, kami bersetuju dengan Majlis Sukan Negara (MSN), adalah sukar untuk mencapai kemuncak prestasi selepas mempamerkan dominasi di Sukan SEA kira-kira lima bulan lalu. Kami harap mereka mampu mengekalkan catatan terbaik peribadi,” katanya.

Selain keirin, Azizul akan turun mempertahankan emas pecut individu yang dimenanginya pada edisi 2017.

Manakala Fatehah disenaraikan dalam empat acara iaitu keirin, pecut individu, ujian masa 500 meter dan pecut berpasukan.

Sementara itu, Abu Samah menjelaskan ACC yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM800,000 tidak berdepan masalah hasil sokongan dan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN.

“Kejohanan ini menyaksikan jumlah penyertaan paling ramai pelumba iaitu seramai 379 dari 21 negara selepas Filipina membuat kejutan menarik diri,” ujarnya.

ACC 2018 berlangsung dari 16 hingga 20 Februari ini di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 7:18 PM