AKSI pemain Sabah, Gilhoon Lee (tengah) ketika menentang FELCRA, kelmarin.
Ryan Stanley

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah, Jelius Ating kurang berpuas hati dengan persembahan pasukannya selepas terikat 1-1 menentang FELCRA FC dalam aksi kedua Liga Perdana di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Katanya, corak permainan ditunjukkan anak didiknya agak perlahan pada awal separuh masa pertama hingga menyaksikan mereka kurang penguasaan bola.

“Saya tidak menolak faktor keletihan pemain, kita juga terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh ke sini (Shah Alam) dan masa untuk mereka (pemain) rehat tidak cukup,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Jelius bagaimanapun memuji kesungguhan dipamerkan pemainnya, terutama di babak kedua perlawanan.

“Pada separuh masa kedua pemain mula menunjukkan permainan lebih baik, malah kita memiliki tiga peluang baik untuk menjaringkan gol termasuk dua peluang keemasan dimiliki Maxsius (Musa)... dia sedikit kurang tenang di depan gol,” katanya.

“Apa yang penting kita tidak pulang tangan kosong, matlamat kita ialah mengutip mata penuh setiap kali beraksi di gelanggang sendiri dan sekurang-kurangnya mendapat satu mata di tempat lawan bagi membolehkan kita berada di kelompok atasan liga,” katanya.

Pada aksi malam tadi, FELCRA FC memperoleh gol pendahuluan menerusi Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-26 namun Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Lee Gil Hoon.

Tuan rumah hampir mencatat kemenangan selepas mendapat sepakan penalti di hujung perlawanan, namun sepakan Anselmo diselamatkan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Sabah akan meneruskan saingan liga bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Likas, di sini, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 9:08 AM