ABDUL Malik (tengah) mahu rebek gawang Selangor. FOTO/FAIL
Malik Muhamad


SELEPAS kemarau gol dalam dua perlawanan, penyerang Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff bertekad membuka ‘akaun’ jaringan peribadi apabila pasukannya turun melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Penjaring terbanyak tempatan musim lalu dengan koleksi 18 gol ketika menyarung jersi Kuantan FA itu juga berazam mahu memperagakan aksi terbaik sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah The Red Giants.

“Saya kecewa kerana masih buntu meledak jaringan biarpun berpeluang melakukannya ketika bertemu PKNS FC minggu lalu.

“Justeru, saya harap sekiranya disenaraikan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim menentang Selangor, saya berazam mencetak jaringan pertama musim ini,” kata pemain kelahiran Pahang itu.

Dalam aksi pertama bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lalu, skuad kendalian Irfan Bakti itu mencatat keputusan seri 2-2 dengan kedua-dua gol hasil jaringan penyerang import kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre.

Kipre sekali lagi menunjukkan bisanya apabila jaringannya membantu skuad Penyu seri menentang Kelantan 1-1 dalam aksi kedua di Kota Bharu, kelmarin.

Mengulas lanjut, penyerang baharu skuad TFC itu menegaskan setiap pemain yang bergelar penyerang pasti mengidam untuk meledak jaringan dalam setiap perlawanan.

“Saya juga begitu. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras lagi sekiranya mahu merobek gawang Selangor. Malah, ia penting bagi membalas semula kepercayaan jurulatih selain menggembirakan penyokong,” kata Abdul Malik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 7:06 PM