16 atlet sebelum berlepas ke Indonesia.
Mohd Khairie Khalid

SERAMAI 16 atlet olahraga kebangsaan bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Olahraga Jemputan Sukan Asia ke-18 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, kali ini.

Antara yang disenaraikan adalah raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, namun dia hanya akan menyertai acara berpasukan 4x100 meter (m) bersama Abdul Wafiey Roslan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy dan Muhammad Haiqal Hanafi.

Turut berada dalam senarai adalah Olimpian Zaidatul Husniah Zulkifli yang bakal beraksi dalam dua acara tumpuan iaitu pecut 100m dan 200m wanita.

Pemegang rekod lompat kijang Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail turut berada di dalam senarai selain Kirthana Ramasamy yang beraksi dalam acara sama, selain lompat jauh.

Acara tumpuan 100m lelaki hanya diwakili empat pelari kebangsaan- Badrul Hisyam, Jonathan, Nixson serta Muhammad Haiqal.

G Aravinn Thevarr yang kini mula beraksi dalam acara 400m turut mengambil bahagian dalam acara baharunya selain acara kegemaran, 200m serta penampilan pemenang pingat emas 110m lari berpagar di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Rayzam Shah Wan Sofian.

“Ini adalah kejohanan pertama musim ini. Kita ingin mengukur prestasi atlet-atlet selepas latihan persediaan dilaksanakan untuk melihat keupayaan mereka,” kata ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas, hari ini.

Acara yang mempertandingkan pingat bagi sukan olahraga dijadual bermula Ahad ini.

Senarai atlet dan acara:

1. Abdul Wafiey Roslan (400m, 4x100m)

2. G Aravinn Thevarr (200m, 400m)

3. Asif Rahman Jiyaudeen (800m)

4. Badrul Hisyam Abdul Manap (100m, 4x100m)

5. Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi)

6. Jonathan Nyepa (100, 4x100m)

7. Khairul Hafiz Jantan (4x100m)

8. Kirthana Ramasamy (lompat jauh, lompat kijang)

9. Lee Hup Wei (lompat tinggi)

10. Muhammad Haiqal Hanafi (100m, 4x100m)

11. Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang)

12. Nixson Kennedy (100m, 4x100m)

13. Nurfazira Jalaludin (baling tukul besi)

14. Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar)

15. Yap Sean Yee (Lompat tinggi)

16. Zaidatul Husniah Zulkifli (100m, 200m)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 9:13 PM