PEMAIN Pahang Mohamadou Sumareh (dua dari kanan) diasak penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Bernama
Oleh Asrol Awang


SKUAD Pahang beroleh kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Pada dua perlawanan terdahulu, skuad Tok Gajah gagal beraksi cemerlang apabila seri tanpa jaringan dengan Perak sebelum tewas 0-1 kepada PKNS FC.

Namun, perubahan yang dilakukan dengan menyenaraikan penyerang import dari Liberia, Forkey Doe membuahkan hasil apabila pemain itu menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-12.

Aksi cemerlang skuad kendalian Dollah Salleh itu bermula dengan jaringan pembukaan hasil tandukan Doe dan gol itu jelas memberi impak besar ke atas masalah ketumpulan jentera serangan dalam dua perlawanan lalu.

The Red Worriors (TRW) juga berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi dinafikan jentera pertahanan tuan rumah. Peluang terbaik pelawat hadir menerusi tandukan Ahmad Shukri Ab Hamid yang mudah diselamatkan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias minit ke-21.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua hasil sentuhan pemain berasal dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-54.

Gol kedua itu ternyata menyentap lawan dan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa bekerja keras untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Tiga minit sebelum perlawanan berakhir, pemain Tok Gajah, Nor Azam Azih menambah duka TRW dengan jaringan ketiga sekali gus memastkan tuan rumah mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 12:28 AM