PEMAIN Newcastle puas benam United. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Matt Ritchie memberikan Manchester United kekalahan mengejut 1-0 berdepan pasukan bergelut, Newcastle manakala Huddersfield mendaki keluar dari zon penyingkiran selepas menang 4-1 mengatasi Bournemouth malam tadi.

Kekalahan kedua United dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana menyebabkan mereka ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Skuad kendalian Jose Mourinho yang berkedudukan kedua liga, tewas di tangan Tottenham dalam perlawanan terakhir di gelanggang lawan, tidak berada pada tahap terbaik di St James’ Park dan perlu membayar harga yang mahal pada minit ke-65.


PEMAIN United, Alexis Sanchez serba tidak menjadi. FOTO/AFP

Pertahanan United, Chris Smalling dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan badan dalam kawasan sendiri dan hasil sepakan percuma Jonjo Shelvey, Dwight Gayle menanduk dan menghantar bola buat Ritchie.

Larian Ritchie tidak dicabar oleh pertahanan United dan pemain sayap Newcastle itu meledak sepakan rendah menewaskan David De Gea.


PEMAIN tengah Newcastle, Jonjo Shelvey (kanan) mengekang pemain tengah United, Juan Mata. FOTO/AFP

Di Stadium John Smith, skuad The Terriers kini satu mata di atas zon penyingkiran manakala Bournemouth kekal di pertengahan liga.

Bagaimanapun kemenangan pertama Huddersfield dalam sembilan perlawanan dicemari dengan kecederaan pemain tengah Australia, Aaron Mooy yang dibawa keluar padang kerana kecederaan lutut 15 minit sebelum tamat.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 12:49 AM