JURULATIH Pahang, Dollah Salleh mahu menggunakan tempoh rehat untuk mengukuhkan keyakinan pemain bagi mencabar pemain lawan. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PASUKAN Pahang mahu memanfaatkan tempoh rehat panjang Liga Super bagi membentuk persefahaman lebih jitu untuk menghadapi saingan seterusnya pada 24 Februari ini. 

Pengendali pasukan, Dollah Salleh juga mahu menggunakan tempoh rehat  itu untuk mengukuhkan keyakinan pemain bagi mencabar pemain lawan. 

Pada masa sama, katanya, peminat bola sepak akan melihat skuad Tok Gajah akan kembali kepada pasukan yang digeruni selepas mengharungi tiga perlawanan. 

"Kemenangan pertama selepas tiga perlawanan ternyata memberi lebih semangat kepada pemain untuk membuktikan skuad ini sudah berada pada prestasi terbaik. 

"Saya percaya kemenangan 3-0 ke atas Kelantan menyaksikan pemain sudah mula mempamerkan prestasi sebenar mereka untuk meletakkan pasukan pada kedudukan lebih baik dalam liga. 

"Apa yang perlu dilakukan pemain adalah mengekalkan fokus mereka kerana perjalanan masih lagi jauh dan segala kelemahan akan diperbaiki," katanya hari ini.

Selepas tiga perlawanan, Pahang meraih empat mata hasil daripada kemenangan 3-0 ke atas Kelantan dan seri 0-0 dengan Perak. Ia tewas 0-1 kepada PKNS FC. 

Namun, kehadiran bekas penjaring terbanyak Liga Super 2012, Forkey Doe ternyata memberi impak di bahagian serangan skuad Tok Gajah. 

Justeru, bekas jurulatih kebangsaan itu mengharapkan semua pemain dapat meningkatkan kualiti permainan mereka dalam usaha menambah pungutan mata. 

"Ini kerana kami akan bertemu Selangor sebaik saingan liga bersambung pada 24 Februari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 12:54 PM