POCHETTINO antara buruan kelab ternama.
POCHETTINO antara buruan kelab ternama.
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menanam semangat juang tinggi dalam skuad kendaliannya yang membantu mereka mengatasi defisit, kata perancang, Christian Eriksen.

Tottenham ketinggalan 2-0 ketika menentang Juventus selepas sembilan minit perlawanan bermula dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, semalam.

Kelab Inggeris itu berjaya bangkit untuk mencatat keputusan seri 2-2 sekali gus meletakkan mereka selaku pilihan menjelang aksi timbal balik di Wembley.

Justeru, Eriksen, 26, percaya kebangkitan itu adalah bukti terbaik peningkatan yang ditampilkan Tottenham di bawah kendalian pengurus dari Argentina itu.

“Kelab ketika ini amat berbeza daripada apa yang saya lihat ketika saya tiba sebelum ini dan ketika ini,” kata Eriksen kepada media British.

ERIKSEN (tengah) yakin Pochettino kekal bersama Spurs.
ERIKSEN (tengah) yakin Pochettino kekal bersama Spurs.

“Ia bergantung kepada pengurus dan juga para pemain, dengan kualiti yang kami miliki dalam skuad.

“Kami meningkat dalam setiap musim berbanding ketika saya tiba di sini. Perlawanan menentang pasukan terbaik, apabila kami ketinggalan 2-0 selepas sembilan minit, kami mungkin tewas 6-0.

“Itulah perkara yang kami ubah dengan kehadiran pengurus dan juga pemain yang kami miliki. Semua orang meningkat dan mereka tidak akan duduk diam selepas ketinggalan 2-0.

“Kami tidak kisah di mana kami berada atau apakah masanya atau stadium mana kami bermain atau pasukan mana kami tentang, kami sentiasa cuba untuk mendominasi.”

Kebangkitan Spurs baru-baru ini selain prestasi hebat dalam kempen Liga Juara-Juara meletakkan Pochettino sebagai antara buruan kelab ternama tetapi Eriksen percaya pengurus itu akan kekal lebih lama bersama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 10:01 PM