SATHIT (kiri) dipecat KAFA.
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) memecat ketua jurulatih, Sathit Bensoh berkuat kuasa hari ini susulan prestasi hambar The Red Warriors (TRW) dalam tiga perlawanan Liga Super.

Keputusan itu sekali gus menjadikan jurulatih dari Thailand berkenaan menjadi pengendali pertama dalam Liga Malaysia (Liga M) yang dipecat musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan bersama panel penilaian pasukan dan jawatan itu bakal diisi dengan jurulatih baharu.

Katanya, penolong jurulatih, Yusri Che Lah akan memangku tugas buat sementara dan pada masa sama pihaknya sedang menilai prestasi tiga calon jurulatih baharu.

"Sebelum ini kita menetapkan empat perlawanan untuk menilai kemampuan Sathit tetapi terpaksa membuat keputusan segera dengan menamatkan perkhidmatannya kerana pasukan sudah pun menghadapi dua pasukan besar dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Kita tidak mahu terus tercicir mata dalam perlawanan seterusnya dan membuat keputusan drastik mencari pengganti yang lebih baik bagi membimbing pasukan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan sama, Bibi Ramjani menafikan desas-desus untuk memanggil semula jurulatih kelahiran Bulgaria, Velizar Popov mengemudi TRW.

"Saya tidak tahu menahu siapa yang menghubungi Popov kerana dia memang dari awal tiada dalam perancangan kita.

"Kita tidak mahu Popov kerana dia terlalu sensasi... kita mahu seorang jurulatih yang mampu membawa pasukan ini tanpa terpalit dengan sebarang kontroversi.

"Selain itu, kita juga meneliti seseorang pengendali yang boleh menerima dan serasi dengan cepat bersama pasukan memandangkan perlawanan sudah bermula.

"Lagipun, KAFA mahu berjimat cermat dalam memilih jurulatih yang biar kena dengan kewangan yang kita ada sekarang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 10:06 PM