KIM Swee (tengah) mahu kes  Syihan dijadikan iktibar.
KIM Swee (tengah) mahu kes Syihan dijadikan iktibar.
Aziman Rosdi


KES doping membabitkan pemain muda, Ahmad Syihan Hazmi seharusnya membuka mata semua pihak khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sewajarnya bertindak lebih agresif untuk membendung gejala itu.

Biarpun kes Syihan gagal ujian doping berlaku di luar negara ketika menyertai Kejuaraan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di Changshu, China bulan lalu, namun peringatan mengenai bahaya penggunaan bahan terlarang seharusnya bermula di peringkat bawah lagi membabitkan pemain muda.

Tidak dinafikan FAM melaksanakan tugas dengan baik apabila memberikan taklimat serta ujian doping secara rawak kepada pemain dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana namun sudah tiba masanya untuk mereka memberi fokus secara keseluruhan.

Mungkin dengan menambah ujian doping kepada pemain muda yang beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia boleh memberi pendedahan dan peringatan awal supaya mereka tidak mengambil mudah mengenai isu berkenaan.

Menurut jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, langkah untuk melakukan ujian doping bagi saingan liga B-21 dan B-19 itu wajar dipertimbangkan memandangkan kes doping kini turut membabitkan pemain muda.

“Kita agak terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku ke atas Syihan kerana dia masih muda. Seminggu sebelum kejohanan itu bermula, kita sudah ada taklimat khas mengenai ujian doping dan mengingatkan kepada semua pemain jadi kita tak menyangka kes seperti ini masih boleh berlaku.

“Jadi sesuatu harus dilakukan, mungkin FAM atau FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) boleh mempertimbangkan cadangan untuk melakukan ujian doping kepada pemain muda yang beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia. Ini sebagai pendedahan dan peringatan awal kepada mereka.

“Kita tahu ujian doping ini memerlukan kos agak besar tapi kita perlu melakukan sesuatu untuk mencegahnya. Kerana mungkin ada pemain yang mengambil makanan tambahan bukan ketika kejohanan tapi sebelum itu lagi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Syihan yang disahkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gagal ujian doping sampel A mengakui ada mengambil bahan sumber protein yang mungkin menjadi penyebab dia positif bahan terlarang, metabolite methandienone.

Pemain berusia 22 tahun itu yang kini mewakili Negeri Sembilan, digantung selama 60 hari daripada beraksi dalam sebarang perlawanan sehingga menunggu keputusan ujian sampel B.

Untuk rekod, pada Julai 2016, dua pemain PDRM dan Perak, Muhammad Shafiq Jamal dan Muhammad Firdaus Saiyadi digantung dua tahun daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak ekoran positif ujian doping.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 10:21 PM