FEDERER  bersama trofi di Rotterdam.
FEDERER bersama trofi di Rotterdam.
AFP

Rotterdam, Belanda: Roger Federer menjadi pemain tenis tertua menduduki ranking nombor satu dunia apabila pemenang 20 kali gelaran Grand Slam itu mara ke peringkat separuh akhir ATP Terbuka Rotterdam, semalam.

Pemain dari Switzerland berusia 36 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain tuan rumah, Robin Haase 4-6, 6-1, 6-1 dan akan menggantikan tempat Rafael Nadal di kedudukan teratas ranking dunia.

“Ia perjalanan yang menakjubkan, menjadi nombor satu sekali lagi amat bermakna bagi saya,” kata Federer.

“Ia jelas terlalu istimewa, saya amat gembira. Saya benar-benar tidak berfikir yang saya boleh kembali menjadi nombor satu, ia masa yang membanggakan dalam karier saya.”

Federer mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh Andre Agassi yang menghuni kedudukan sama pada usia 33 tahun dan 131 hari pada 2003.

Ini kali pertama Federer kembali ke puncak sejak Oktober 2012 selepas kali pertama meraih tempat berkenaan pada Februari 2004.

“Meraih ranking pertama adalah pencapaian terhebat dalam tenis. Apabila kami semakin berusia, kamu perlu menggandakan usaha, perlu bergelut untuk merampasnya daripada seseorang yang juga bekerja keras untuk berada di sana.

“Ia adalah mimpi jadi kenyataan,” kata Federer penuh emosi.

“Ia perjalanan yang menakjubkan dan untuk berada di sini, di mana saya mendapat wildcard pertama saya pada 1998, ia amat bermakna.”

Agassi antara yang pertama mengucapkan tahniah kepada Federer.

“36 tahun 195 hari... @rogerfederer terus meningkatkan tahap sukan kami. Tahniah terhadap satu lagi pencapaian yang menakjubkan!!,” tulis legenda tenis Amerika Syarikat itu dalam Twitter.

Federer sebelum ini bercakap mengenai keinginannya untuk merampas kedudukan ranking nombor satu dunia tetapi ia hampir terkubur apabila dia perlu melalui pembedahan lutut pada tahun lalu.

“Saya bergelut untuk cuba dan berada di sini. Saya perlu menang banyak perlawanan pada tahun lalu,” kata Federer yang berada di ranking 17 dunia pada Januari 2017 sebelum kembali ke prestasi baik untuk memenangi Terbuka Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 4:28 AM