ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

ROTTERDAM: Roger Federer meraikan kejayaannya muncul pemain tertua meraih ranking pertama dunia dengan melangkah ke final tenis ATP Terbuka Rotterdam, awal pagi tadi.

Pemain kelahiran Switzerland itu mara selepas mencatat kemenangan 6-3, 7-6 (7/3) ke atas pemain Itali, Andreas Seppi sekali pun tidur agak lewat bagi menyaksikan liputan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan.

Federer, 36 menambah rekod kemenangannya ke atas Seppi kepada 14 daripada 15 perlawanan ketika pemain di ranking 81 dunia itu mara ke separuh akhir disebabkan oleh tuah.

Pilihan utama, Federer akan bertemu Grigor Dimitrov di pentas final, awal pagi esok.

Dimitrov, yang juga pilihan kedua mara ke final selepas pemain Belgium, David Goffin terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan di bahagian matanya.

Dimitrov ketika itu sedang mendahului 6-3, 0-1.

Federer berkata sekali pun kurang tidur disebabkan oleh kejayaan terbarunya serta untuk menonton Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, dia tidak bermasalah untuk mengekalkan kecergasan bagi menghadapi aksi final yang memberinya peluang menjulang trofi ke-97 dalam kariernya.

“Saya merasa baik hari ini, mungkin sedikit berat di atas gelanggang tetapi saya agresif,” kata pemenang 20 kali Grand Slam itu. “Saya mula untuk mencari tenaga pada pertengahan set pertama, tetapi permulaannya agak sukar.”

Pemenang dua kali Terbuka Rotterdam itu yang mengesahkan kedudukan ranking nombor satu dunia selepas menewaskan Robin Haase di suku akhir, semalam.

Sekali pun mempunyai kelebihan dengan rekod kemenangan 6-0 ke atas Dimitrov dan kali terakhir bertemu di pusingan empat Wimbledon, tahun lalu, Federer tidak mahu mengambil mudah cabaran pemain kelahiran Bulgaria itu.

“Saya mengenalinya dengan amat baik, dia memperoleh tahun yang baik musim lalu, menang di London (Jelajah Dunia ATP Final) dan Cincinnati. Dia menewaskan beberapa pemain yang bagus dan memulakan tahun ini dengan baik.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 1:06 PM