PELUMBA basikal negara, Fatehah Mustapa terkandas pada pusingan kedua acara pecut individu pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, sebentar tadi. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Azlan Muhammad Zain


RATU trek negara, Fatehah Mustapa terkandas pada pusingan kedua acara pecut individu apabila tewas kepada pelumba China, Guo Yufang pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, sebentar tadi.   

"Memang kecewa sebab saya sepatutnya boleh menang namun terdapat sedikit kesilapan berlaku.   

"Jadi, untuk acara pecut individu saingan sudah berakhir dan catatan 11.149 saat yang saya lakukan hampir memecahkan rekod kebangsaan," katanya yang meraih gangsa acara ujian masa 500 meter malam tadi.   

Rekod kebangsaan acara itu ialah 11.108s adalah miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Paris pada 2015.   

"Saya akan cuba meraih podium dalam keirin Selasa ini. Sebagai tuan rumah, kita mengharapkan sesuatu yang positif," tambahnya.   

Turut terkandas pada pusingan kedua seorang lagi pelumba negara, Farina Shawati Mohd Adnan yang kecundang kepada pelumba Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:29 PM