MOHD Khairul Hazwan Wahab (kiri) dan Mohd Nur Ridzuan Zainal memenangi pingat emas bagi acara kejar-mengejar individu tandem (B) di Velodrom Nasional Nilai. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Azlan Muhammad Zain

 

KEKECEWAAN terlepas beraksi di Sukan Para ASEAN 2017 akibat kemalangan akhirnya ditebus pelumba berpengalaman negara, Muhd Nur Ridzuan Zainal di pentas lebih tinggi.

Pelumba pilot berusia 32 tahun itu bergandingan dengan pelumba Para, Mohd Khairul Hazwan Wahab untuk meraih emas acara kejar-mengejar individu tandem (B) dengan catatan masa empat minit 41.211s pada edisi ketujuh Kejohanan Lumba Basikal Para Asia.

"Saya sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya, kira-kira 90 peratus dan masih dalam pengawasan Institut Sukan Negara (ISN) sejak kembali berlatih penghujung Disember lalu.

"Malah keputusan menyenaraikan saya hanya dilakukan seminggu yang lalu selepas mempamerkan prestasi baik dalam latihan. Namun hanya dibenarkan menyertai satu acara saja," katanya.

Bekas pelumba kebangsaan itu mengalami keretakan di tulang belakang selepas menjadi mangsa langgar lari semasa latihan untuk menghadapi Sukan Para ASEAN pada September, seminggu sebelum temasya bermula.

Ia menyebabkan dia terlepas Sukan Para ASEAN manakala Khairul Hazwan yang sempat pulih berjaya memenangi emas acara ujian masa individu bersama pelumba pilot, Mohd Rauf Nur Misbah di pentas temasya Asia Tenggara itu.

Pada saingan di Velodrom Nasional sebentar tadi, mereka melakar kejutan mengetepikan pilihan utama, Muhammad Afiq Afify Rizan dan pelumba pilotnya, Muhammad Khairul Adha Rasol untuk meraih emas.

"Lebih menggembirakan adalah catatan masa yang kami lakukan sangat kompetitif untuk bersaing di pentas lebih tinggi termasuk Piala Dunia Berbasikal Para dan Kejohanan Berbasikal Para Dunia," katanya.

Turut cemerlang gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama pelumba pilot, Noraidillina Adilla J Sam yang memenangi acara kejar-mengejar individu tandem (B) wanita dengan catatan tiga minit 55.076s.

Ia adalah emas kedua mereka selepas memenangi acara pecut semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 10:56 PM