Azlan Muhammad Zain


AZIZULHASNI Awang membawa senjata ampuh ke Kejohanan Trek Dunia hujung bulan ini apabila muncul pelumba terpantas Asia pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, sebentar tadi.

Walaupun gagal meraih emas, kejayaan melakar rekod baru Asia dengan catatan 9.774 saat pada pusingan kelayakan sudah cukup menarik perhatian pencabarnya apabila meraih perak dalam pecut individu selain gangsa keirin.

Terdahulu pada aksi final, pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu memberikan tentangan sengit pada perlumbaan pertama kepada pelumba veteran Jepun, Kazunori Watanabe namun masih gagal mengekangnya daripada memenangi saingan.

Ia disusuli pusingan kedua dengan sekali lagi Azizul memberikan kayuhan bertenaga namun terpaksa akur tewas tipis menuju ke garisan penamat dan tumpas 0-2.

“Bagi saya ia tetap sesuatu yang membanggakan kerana berjaya melakar rekod Asia dan menaiki podium dalam dua acara disertai.

“Ini menunjukkan persediaan saya berada di landasan tepat menghadapi Kejohanan Dunia di Belanda hujung bulan ini,” katanya.

Malaysia bagaimanapun cemerlang dalam kategori remaja apabila Zulhelmi Zainal memenangi emas acara kejar-mengejar individu.

Dia menamatkan perlumbaan final dengan masa tiga minit 24.985s mengatasi lawan dari Kazakhstan, Maxim Gridchin yang mencatat masa 3:25.527s.

Manakala Alif Aiman Safuan terpaksa akur meraih perak pecut individu selepas tewas kepada Esow Alban dari India 0-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 11:11 PM
PELUMBA basikal Malaysia, Azizulhasni Awang akan ke Kejohanan Trek Dunia hujung bulan ini apabila muncul pelumba terpantas Asia pada Kejohanan Lumba Basikal Asia di Velodrom Nasional, sebentar tadi. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN