BIBI (dua dari kiri) akan pastikan KAFA lengkapkan dokumen.
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mengakui masih terdapat kekurangan dalam pengurusan hingga menyebabkan pasukan negeri itu gagal melengkapkan dokumen pendaftaran bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Susulan itu, persatuan itu kini berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan selain belajar daripada kesilapan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, mereka menganggap apa yang berlaku adalah ujian buat pasukan dan kini perlu menghadapi dan menanganinya.

“Isu pemotongan mata... dokumen tidak lengkap, kepincangan dalam pengurusan KAFA, kami (segera) belajar daripada kekurangan kerana kami (ingin) berjuang demi sebuah pasukan.

“(Ini) ujian bagi kami dan sudah menjadi kepastian dan tanggungjawab untuk kami selesaikan (perkara) ini,” katanya menerusi entri di laman Facebooknya, hari ini.

Empat pasukan Liga Super, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC dilaporkan mungkin berdepan hukuman tegas oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) apabila gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut tarikh yang ditetapkan.

Mengulas perkembangan sama, Bibi yang mengambil alih tampuk kepimpinan KAFA sejak 17 September lalu turut memberitahu mereka berusaha memulihkan pasukan supaya kembali mengecap beberapa kejayaan dalam saingan Liga-M.

“Kewangan peribadi sanggup kami gadaikan demi melihat Kelantan berjaya dan harapan kami juga pemain berjuang dengan ikhlas sebagai amanah daripada kami.

“Apa pun kami sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FMLLP atas usaha dilakukan demi pembangunan bolasepak Malaysia... kekurangan dan kelemahan kami harus diakui dan akan diatasi sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 6:01 PM