BONNIE Bunyau Gustin (tengah) meraih emas dan memecahkan rekod dunia dalam acara angkat berat kategori 65 kilogram pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia Fazza kesembilan di Dubai, malam tadi.

 

ATLET para remaja kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila meraih emas dan memecahkan rekod dunia dalam acara angkat berat kategori 65 kilogram (kg) pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia Fazza kesembilan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Lebih manis lagi, kejayaan melakukan angkatan seberat 157kg itu juga membolehkan Bonnie, 18, memperbaharui rekod lamanya dalam acara powerlifting remaja dunia iaitu 156kg dibuatnya pada Kejohanan Powerlifting Dunia di Maxico, 8 Disember lalu.

Bonnie muncul juara dengan menewaskan 13 peserta lain termasuk pemenang pingat perak, Sebastian Switonski dari Poland yang melakukan angkatan seberat 118kg manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Osama Albalushi (97kg).

Dia juga mengutip pingat gangsa dalam kategori berat badan 65kg bagi acara senior.

Sementara itu, Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia (PPPM) Kamaruzaman Kadir, ketika dihubungi nyata gembira dengan kejayaan Bonnie menang satu emas dan satu gangsa di Dubai, malam tadi.

"Saya melihat Bonnie adalah seorang atlet remaja yang paling konsisten meraih kejayaan pada 2017 dan 2018.

"Justeru, saya percaya dia mampu pergi lebih jauh lagi dalam sukan powerlifting pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan meletakkan sebarang sasaran ke atas Bonnie yang turut tersenarai bagi saingan di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada April nanti bersama seorang lagi atlet powerlifting Malaysia, Jong Yee Khie.

"Pingat untuk Sukan Komanwel belum pasti kerana mereka akan bertanding dalam kategori terbuka. Jadi cabarannya sengit sekali. Apa-apa pun kita kena gandakan lagi usaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 9:27 AM