TUCK (tengah) teruja jumpa bekas pasukan.
Malik Muhamad

ARKITEK Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui dia kini bagaikan tidak sabar untuk bertemu bekas pasukannya, Negeri Sembilan dalam aksi keempat Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Jumaat ini.

Malah pemain kelahiran Halifax, England yang digelar Wayne Rooney Terengganu dalam kalangan peminat setia skuad Penyu itu juga bertekad mahu menyajikan aksi terbaik bagi memastikan bekas pasukannya itu berputih mata di laman sendiri.

“Sasaran saya ke Paroi tidak ada matlamat lain kecuali tertumpu kepada kemenangan untuk mengutip tiga mata, saya akan lakukan yang terbaik sebagaimana tiga perlawanan terdahulu.

“Bagi memastikan matlamat itu tercapai, saya akan mengekalkan emosi dan hanya memikirkan untuk membantu Terengganu mencatat kemenangan bertemu pasukan itu,” kata Tuck yang pernah muncul pemain terbaik Piala Menteri Besar Terengganu pada Januari lalu.

Ketika bertemu skuad Selangor sebelum ini, pemain berusia 30 tahun itu yang memulakan kariernya bersama kelab Halifax Town ketika berusia 19 tahun berjaya meledak dua jaringan cantik untuk membantu pasukannya menang 4-1.

Pemegang rekod jaringan paling jauh setakat ini dalam Liga Malaysia (Liga M) juga bijak membentuk kombinasi mantap di jentera tengah pasukan bersama pemain dari Kemboja, Thierry Chantha Bin dan pemain tempatan Mohd Faiz Mohd Nasir.

Ketika ditanya adakah dia bakal dikawal rapi skuad Hobin Jang Hobin kerana kelicikannya, pemain yang berketinggian 1.75 meter itu mengakui sudah pasti pasukan lawan akan bekerja keras untuk menghalangnya menguasai bahagian tengah permainan.

“Itu sudah saya jangka, tapi saya juga sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan itu kerana tahap permainan saya kini semakin baik dan serasi serta tidak sabar untuk bertemu pasukan lama saya.

“Selain itu kejayaan meledak dua gol ketika bertemu Selangor tempoh hari bagus buat saya untuk meningkatkan lagi kualiti permainan dan seterusnya memberi impak yang besar terhadap pasukan kami,” kata Tuck.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 2:17 PM