GERARD Pique bernasib baik tidak dihukum REFF. - FOTO REUTERS
Reuters

Barcelona: Bintang Barcelona Gerard Pique terlepas daripada sebarang hukuman kerana meminta penyokong Espanyol mendiamkan diri selepas menjaringkan gol pada aksi kelab tetangga itu awal bulan ini malah menghina kelab itu sebelum perlawanan.

Persekutuan bola sepak Sepanyol (REFF) berkata hari ini, pihaknya sudah menamatkan siasatan terhadap pertahanan itu.

Pique memberitahu dia menerima ejekan sepanjang perlawanan pada 4 Februari lalu dan ‘meminta penyokong berdiam diri adalah sesuatu yang sekurang-kurangnya mampu saya lakukan.”

Tindakannya itu bagaimanapun dikritik presiden La Liga Javier Tebas, yang mendakwa ia mencetuskan kemarahan penyokong Espanyol.

Susulan insiden itu, liga utama Sepanyol itu berkata mulai ketika ini pihaknya akan meminta persekutuan menyiasat tindakan pemain meraikan jaringan yang disifatkan keterlaluan.

RFEF mengkritik kelakuan Pique namun berkata pihaknya tidak mempunyai hujah kukuh untuk mendakwanya.

“Kata-kata pemain itu tidak menggambarkan sesuatu sesuatu yang bijak dan tidak membantu mengukuhkan sukan itu sebagai medan yang bebas daripada konfrontasi sosial,” menurut satu kenyataan daripada Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan.

Sebelum perlawanan itu Pique didakwa menghina Espanyol dengan berkata mereka berasal dari kawasan perbandaran Cornella dan bukannya bandaraya Barcelona, mencetuskan kemarahan daripada kelab dan majlis perbandaran Cornella.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 12:03 AM