Skip this ad x
PENYOKONG Reds tak sabar jumpa Hammers esok.
AFP

LIVERPOOL: Sadio Mane berkata hatrik dalam Liga Juara-Juara memberikan suntikan keyakinan buat dirinya ketika Liverpool bersedia mendaki ke kedudukan kedua Liga Perdana – sekurang-kurangnya sementara – dengan menewaskan West Ham di Anfield esok.

Dia hanya kurang satu gol untuk menyamai jumlah jaringan keseluruhan miliknya pada kempen lalu selepas menjaringkan tiga gol berdepan Porto pada pusingan pertama pertembungan kelompok 16 pasukan terakhir minggu lalu.

“Ia sentiasa menjadi sesuatu yang penting, terutama buat penyerang, untuk menjaringkan gol. Ia memberikan anda keyakinan dan saya rasa yakin.

“Kini saya tidak sabar untuk terus memberikan yang terbaik, saya sering melakukannya walaupun tidak berada pada tahap terbaik.”

Penyerang Senegal berusia 25 tahun itu tampak akan disenaraikan bersama Roberto Firmino selepas pemain Brazil itu mengetahui dia tidak akan dikenakan tindakan disiplin selepas perbalahan dengan pertahanan Everton, Mason Holgate pada pusingan ketiga Piala FA, bulan lalu.


PEMAIN Liverpool ketika memulakan latihan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp sudah meledak 14 gol dalam lima perlawanan sebelum ini, mengurangkan kejutan kehilangan Philippe Coutinho pada perpindahan Januari.

Walaupun memperaga aksi terbaik di Portugal, Mane paling kurang prolifik daripada tiga penyerang Liverpool, bersama 12 gol musim ini dibandingkan dengan 21 buat Firmino dan 30 buat Mohamed Salah.

Berita baik buat Klopp ialah pasukannya mula mendapat sedikit kekuatan di pertahanan baru-baru ini dengan kehadiran Virgil van Dijk yang tidak melepaskan gol berdepan Porto selepas tiga hari menang 2-0 dalam saingan Liga Perdana di Southampton.

Skuad kendalian Klopp akan memulakan hujung minggu ini di kedudukan ketiga liga, tewas sekali dalam 18 perlawanan Liga Perdana dan kemenangan akan membawa mereka di atas Manchester United, yang tidak akan beraksi hingga Ahad apabila mereka menanti kehadiran Chelsea.

Liverpool dan West Ham masing-masing berehat minggu ini selepas tersingkir daripada saingan Piala FA dan sepatutnya lebih segar dengan Klopp menggunakan tempoh rehat bagi membawa pemainnya ke Marbella untuk latihan dalam cuaca lebih panas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 10:49 AM