PEMAIN UKM, Mohd Akmal Md Zahir (kanan) diasak pemain Kuantan FA, Muhammad Zahiruddin Zulkifli dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. -Foto OWEE AH CHUN
Syafiq Aznan


KUANTAN FA berjaya meraih kemenangan sulung musim ini selepas menundukkan pendatang baharu, UKM FC 4-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kemenangan dan mata penuh pertama untuk musim ini sudah pasti melegakan pengendalinya, Ismail Zakaria selepas pasukan bimbingannya itu sekadar meraih dua mata daripada tiga perlawanan liga sebelum ini.

Penyerang import Montenegro, Zarko Korac layak dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan selepas menjadi pemain ketiga yang mencipta hatrik dalam saingan Liga Perdana musim ini.

UKM FC yang sebelum ini mengejutkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) nyata gagal meneruskan momentum mereka selepas berehat lebih seminggu sekali gus terpaksa akur tunduk pada pasukan tuan rumah yang memperaga aksi lebih kemas.

Pada aksi terbabit, Kuantan FA tidak perlu menunggu lama apabila mendahului perlawanan seawal minit keempat menerusi penyudah pemain tengah kelahiran Brazil, Andre Francisco Williams untuk gol pertamanya musim ini.

Bersambung babak kedua, Korac terus beraksi cemerlang apabila meledak gol ketiganya musim ini pada minit ke-51 sebelum menambah gol peribadi keduanya pada perlawanan terbabit pada minit ke-76.

Belum puas dengan dua gol, Korac akhirnya melengkapkan hatrik ketika saingan berbaki lima minit sekali gus membolehkan Kuantan FA meraih kemenangan terbesar mereka musim ini.

Lima jaringannya setakat ini membolehkan dia berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Liga Perdana bersama penyerang FELCRA FC, Anselmo Arruda dan penyerang FELDA United, Gilberto Fortunato.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 10:01 PM