THANABALAN (depan) diasak pemain Terengganu FC, Mohd Fitri Omar dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. -Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Helmi Irwady dan Mohd Amin Jalil


TERENGGANU FC (TFC) membuktikan mereka memiliki kekuatan tersendiri apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ia kekalahan ketiga Negeri Sembilan selepas sebelum ini tunduk kepada PKNP FC dan Melaka United (MU) dengan kemenangan membenarkan TFC untuk menerajui takhta liga berikutan ia satu-satunya aksi Liga Super yang berlangsung, hari ini.

TFC yang turun dengan misi memadam rekod buruk sudah melakukan asakan ke kubu Negeri Sembilan seawal permainan menerusi gandingan barisan depan mereka yang dikemudi Lee Tuck, Nasrullah Hanif Johan dan Tchethe Hermann.

Situasi itu seakan menyentap semangat pemain Negeri Sembilan yang mahu mengekalkan rekod baik di tempat sendiri, namun persiapan mereka dilihat kurang berkesan apabila terpaksa tampil dengan hanya tiga pemain import iaitu Flavio Beck Junior, Renard Rode dan Kim Do Heon.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-5 menerusi N Thanabalan yang turun menggantikan ayam tambatan pasukan itu, Nicolas Velez, namun sepakannya dari jarak kira-kira 30 meter sekadar melepasi palang.

Ketika anak buah Jorg Steinebrunner cuba menyusun rentak, gawang mereka dikejutkan dengan jaringan penyerang berpengalaman Terengganu, Mohd Ashaari Samsudin pada minit ke-11.

Dia yang menerima hantaran Hermann dari sebelah kiri mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Ilham Abdullah, untuk meletakkan skuad Penyu di depan.

Jaringan itu membangkitkan semangat anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk menambah gol, namun rembatan Lee Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-29 bagaimanapun dapat diselamatkan Muhammad Ilham.

Lee Tuck terus menjadi ancaman buat kubu Negeri Sembilan apabila beberapa gerakan merbahaya mengucar kacirkan pertahanan pasukan itu dan pada minit ke-36, Ashaari melakukan gerakan solo, namun percubaan keduanya ke arah pintu gol tuan rumah, sedikit tersasar.

Negeri Sembilan yang cuba menyusun rentak sebaik perlawanan bersambung berpeluang menyamakan kedudukan tetapi sepakan Do Heon dari dalam kotak penalti pada minit ke-50, tidak menjadi.

Bagaimanapun usaha mereka mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Muhamad Fakrul Aiman Sidid menanduk deras bola hantaran lintang Do Heon pada minit ke-72, sekali gus menewaskan Mohd Sufian Rahman untuk terikat 1-1.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian Junhyeab Lee memanfaatkan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan untuk meledak gol kedua Terengganu pada minit ke-83 yang juga gol kemenangan skuad Penyu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:34 PM