TUCK (kanan) akui puas benam NS. FOTO/ADZLAN SIDEK
Malik Muhamad

PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui begitu puas selepas berjaya membantu skuadnya menumbangkan bekas pasukannya musim lalu, Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban semalam.

Malah pemain import kelahiran England yang diberi gelaran ‘Rooney Terengganu’ itu menzahirkan rasa lebih gembira apabila kemenangan itu membolehkan skuad Penyu berjaya memimpin carta liga buat kali pertama musim ini selepas empat perlawanan.

Pemain yang baharu menamatkan zaman bujang akhir tahun lalu itu juga menyatakan perasaan terharu kerana kejayaan itu hadir di laman lawan iaitu gelanggang yang pernah menjadi medan latihannya bersama skuad Hobin Jang Hobin tahun lalu.

“Musim lalu saya berjaya membantu Negeri Sembilan menundukkan Terengganu dalam aksi pusingan pertama Liga Perdana, kini giliran saya membantu TFC pula menewaskan skuad itu di gelanggang yang sama dalam saingan Liga Super pula.

“Saya berasakan kemenangan ini begitu berharga buat saya dan berasa puas kerana berjaya laksanakan hasrat untuk membantu pasukan mengutip tiga mata walaupun perlawanan itu dilihat sedikit sukar untuk direalisasikan, ditambah pula sumbangan saya kecil dalam aksi itu tapi setiap pemain berjaya melakukan yang terbaik sehingga menang.

“Bagi saya, aksi semalam secara peribadinya mempunyai banyak kenangan yang indah ketika berada di Negeri Sembilan pada tahun lalu termasuk rakan-rakan yang baik dalam pasukan itu, tapi saya gembira kerana kami berjaya padamkan rekod kekalahan musim lalu,” kata Tuck.

Dalam aksi malam semalam, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu berjaya melakar kemenangan tipis 2-1 sekali gus memadam rekod kekalahan 2-3 musim lalu di gelanggang sama hasil jaringan Mohd Ashari Samsuddin dan pemain dari Korea Selatan, Lee Jun-hyeob.

Arkitek TFC, Tuck menjadi watak penting kemenangan pasukannya apabila bijak menguasai bahagian tengah sekali gus membuka peluang buat rangkaian penyerang skuadnya mengganas di kubu tuan rumah.

Mengulas lanjut, Tuck berharap kemenangan itu tidak membuatkan dia dan rakan sepasukan mendabik dada apatah lagi pasukannya kini bergelar pendahulu baharu Liga Super.

“Saingan liga masih panjang dan apa-apapun boleh berlaku jika kita tidak konsisten, oleh itu saya ingatkan diri dan rakan-rakan supaya dapat kekalkan corak permainan terbaik untuk mengintai trofi kejuaraan musim ini,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 1:30 PM