Pemain SHOAW, Ahmad Aiman Jamhee (kanan) mengekang pemain SSTMI pada saingan Kejohanan Ragbi Premier 7's MCKK di Padang Ragbi MCKK. - FOTO L MANIMARAN
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEKOLAH Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Premier 7's MCKK) 2018 selepas membelasah tiga pasukan pada aksi yang berlangsung di sini, petang tadi.   

Pada perlawanan hari kedua itu, SSTMI selaku juara bertahan yang memulakan aksi pembukaan selepas tidak beraksi pada hari pertama nyata beraksi garang.

Tiga pasukan dijinakkan SSTMI dalam kumpulan A itu ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (IKUP), MRSM Kuala Terengganu (MRSMKT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW).  

IKUP tewas dengan jaringan besar 31-0 manakala MRSMKT juga mudah dijinakkan dengan kemenangan bergaya 31-7 diikuti SHOAW yang tewas 29-17.  

Pada perlawanan menentang IKUP, lima try dengan dua daripadanya dilakukan Ammar Mohammad Zamri dan tiga conversion dilihat cukup selesa buat SSTMI menjinakkan pasukan itu.  

SSMTI sekali lagi garang pada perlawanan kedua menentang MRSMKT dengan melakukan lima try dan tiga conversion manakala pada perlawanan terakhir dengan lima try dan dua conversion.  

Jurulatih pasukan, Syed Shazril Syed Mahadzir berkata, walaupun anak buahnya berjaya menang dalam ketiga-tiga aksi namun dia masih tidak berpuas hati disebabkan barisan pertahanan yang dilihat begitu lemah sehingga membolehkan pemain lawan mudah lolos.    

Katanya, Muhammad Danial Haziq Sazali satu-satunya pemain yang beraksi pada tahun lalu manakala pemain lain adalah muka baharu menyebabkan terdapatnya beberapa kelemahan yang perlu diatasi.  

"Untuk aksi suku akhir esok, saya akan fokuskan kepada barisan pertahanan yang dilihat agak lemah dan memantapkan corak serangan supaya dapat menewaskan lawan.  

"Tahun ini, saya lihat saingan begitu sengit dengan persiapan rapi dibuat beberapa pasukan seperti tuan rumah MCKK, RMC (Royal Military College) dan SMSM (Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mersing)," katanya.  

Selain SSTMI, pasukan lain yang turut mara ke suku akhir adalah juara 2013, MCKK, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mersing (SMSM), Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOM), Royal Military College (RMC), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR), Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA).

Jadual suku akhir, esok

SSTMI mln SESMA

SAINA mln RMC

MCKK mln SEMASHUR

SMSM mln INTEGOM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 9:40 PM