FORKEY Doe (kanan) meraikan jaringan ketika menentang Selangor pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. - FOTO ROSDAN WAHID
Syafiq Aznan


PENYERANG Liberia, Francis Forkey Doe kembali menghantui Selangor apabila meledak dua gol untuk membantu Pahang membenam bekas pasukannya, 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Ini menyaksikan aura stadium baharu itu tidak lagi menyebelahi The Red Giants yang memenangi dua aksi di venue sama sebelum ini sekali gus menyaksikan mereka tunduk dua aksi berturut-turut selepas tumbang 4-1 di tangan Terengganu sebelum ini.

Sebaliknya, percaturan Pahang untuk menggugurkan Alex Moraes dan digantikan Patrick Cruz pada minit akhir dilihat berbaloi selepas ‘budak baharu’ itu beroleh ‘debut’ impian apabila membuka akaun golnya pada minit ketujuh pada penampilan pertamanya bersama pasukan itu.

Pada aksi terbabit, Pahang dilihat lebih garang apabila mengasak kubu lawan sejak awal permainan dan usaha keras mereka berhasil apabila hantaran Mohamadou Sumareh ditampan masuk Cruz di dalam kotak penalti untuk gol pembukaan pada minit ketujuh.

Pelawat terus bernafsu untuk menambah gol dan kesilapan pertahanan Selangor yang lambat mengeluarkan bola nyaris dihukum Chan Vathanaka yang sempat melakukan rembatan leret namun tersasar sedikit ke bahagian kiri gol pada minit ke-15.

Vathanaka sekali lagi hampir menyumbat gol kedua menerusi sepakan percuma namun ketangkasan Mohd Khairulazhan berjaya menafikan rembatan pemain Kemboja itu pada minit ke-32 ketika Selangor terus gagal melakukan sebarang percubaan sepanjang tempoh 35 minit perlawanan.

Bagaimanapun, satu-satunya percubaan Selangor ke gawang lawan dibantu Muslim Ahmad selepas pertahanan itu menghadiahkan sepakan penalti susulan mengasari K Kannan dan mudah disempurnakan Rufino Segovia untuk gol kelimanya musim ini pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Selangor masih lagi tercari-cari rentak dan Pahang mengambil kesempatan apabila terus menggandakan asakan dan serangan daripada sebelah sayap kanan pelawat disudahkan dengan rembatan leret Forkey Doe melepasi kawalan Khairulazhan untuk gol kedua Pahang pada minit ke-48.

Selangor terus dirundung malang apabila bola terkena tangan pertahanan tengahnya, Willian Pacheco dan pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abd Wahab memberikan sepakan penalti kepada Pahang dan tidak disia-siakan Doe yang merembat kencang untuk gol kedua peribadinya yang juga gol ketiga Pahang pada minit ke-71.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:40 PM