SALAH sudah ledak 31 gol dalam semua kejohanan musim ini. FOTO/AFP
AFP

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp memuji Mohamed Salah yang sentiasa dahagakan jaringan selepas pemain Mesir itu terus mempamerkan kehebatannya ketika menewaskan West Ham 4-1 di Anfield.

Selepas menjaringkan gol untuk enam perlawanan berturut-turut, Salah menjaringkan 31 gol dalam semua kejohanan musim ini dan sudah pun menyamai rekod Luis Suarez bersama Reds pada kempen 2013-14.

“Saya sukakan keinginan Mo terus menjaringkan gol,” kata Klopp.

“Mo seorang budak yang sentiasa tamak untuk melakukan jaringan.”

Salah turut membantu jaringan Emre Can untuk gol pembukaan menerusi sepakan sudut sebelum Roberto Firmino dan Sadio Mane turut mencatat nama selaku penjaring dalam hari penuh bermakna buat Liverpool yang berjaya melepasi 100 jaringan musim ini.

“Apabila saya bangun pagi ini, saya tidak menjangkakan perlawanan seperti ini, ia perlawanan menarik untuk ditonton semua orang,” kata Klopp.

KLOPP (dua dari kanan) bersalaman dengan Salah. FOTO/AFP

“Ia sungguh tegang, agresif, penuh dengan kemarahan dan keinginan. Saya lihat apa yang saya mahu saksikan dalam bola sepak dan bukan selalu anda dapat menyaksikannya.

“Kami juga menjaringkan gol menerusi set-piece. Anda hanya bercakap dengan saya mengenai set-piece apabila kami menjadi mangsanya jadi bagus apabila menjaringkannya dengan cara begitu.”

Kemenangan itu melonjakkan Liverpool satu mata di atas Manchester United untuk berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris, sekali gus memberi tekanan buat United dan Chelsea yang bertemu sesama sendiri di Old Trafford.

“Adalah penting mendapatkan mata seperti ini. Kami saling memberi tekanan kepada yang lain menerusi keputusan perlawanan. Itulah yang sepatutnya,” kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 10:16 AM